SKM Serah Lebih 100 Bakul Makanan Kepada Mangsa Banjir Sipitang
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

2 Oktober 2025
SIPITANG: Seramai lebih 100 keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah Sipitang, baru-baru ini, menerima sumbangan bakul makanan hasil inisiatif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Penyerahan sumbangan disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah SKM, Datuk Wong Thien Fook bersama rombongan yang diketuai Timbalan Pengarah SKM Sabah, Malisah Sinin.
Antara kampung yang menerima bantuan ialah Kampung (Kg) Ranau-Ranau, Kg Bahagia, Kg Sri Mananti, Kg Kawang Baru, Kg Long Kinangan, Kg Tali Air, Kg Kawang Lama dan Kg Tanjung Nipis.

Hadir sama menyaksikan penyerahan ini ialah Ketua Bahagian UPKO Sipitang, Datuk Pangiran Lalung serta barisan Ahli Jawatankuasa Bahagian UPKO Sipitang.
Wong berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha SKM untuk membantu meringankan beban keluarga yang terjejas akibat bencana alam.
Katanya, ia juga adalah hasil usaha Datuk Pangiran yang sentiasa bekerjasama rapat dengan SKM dalam membantu mereka yang terjejas akibat banjir.

“SKM bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan koperasi, malah turut prihatin terhadap kebajikan masyarakat, khususnya mereka yang dilanda musibah,” katanya.
Sementara itu, Datuk Pangiran Lalung menegaskan, kerjasama antara agensi kerajaan, koperasi, serta komuniti amat penting dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS) berkata, semua penerima bantuan menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada SKM atas sokongan serta keprihatinan memberikan sumbangan bakul makanan.
“UPKO Sipitang akan terus menjadi rakan strategik dalam menyokong inisiatif kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Saya berharap, lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan agar mangsa banjir dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan terjamin,” katanya.
Comments