SME Corp bimbing 48 PMKS berpotensi terokai pasaran eksport
top of page
  • Wartawan Nabalu News

SME Corp bimbing 48 PMKS berpotensi terokai pasaran eksport

9 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sebanyak 48 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bertaraf 4 hingga 5 bintang di bawah Program Penarafan Daya Saing PMKS bagi Peningkatan (SCORE) dibimbing melalui Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang.


Program ini dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyempurnakan penyerahan sijil penghargaan kepada PMKS itu dalam Majlis Penutupan dan Apresiasi Program Rintis Pemangkin PMKS Score 5 Bintang, di Dewan Mahkota SME Corp Malaysia, di sini, hari ini.


Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang bertujuan menggalakkan PMKS menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia dan seterusnya meningkatkan modal dan profil mereka dalam pasaran domestik dan antarabangsa melalui sokongan bersepadu.


Selain itu, program ini turut membantu PMKS menerokai pasaran eksport menerusi sesi padanan perniagaan bersama Trade Linker yang berpengalaman dalam aktiviti eksport.


Pemilihan peserta dibuat dari kalangan PMKS bertaraf 4 - 5 bintang di bawah SCORE sebagai kesinambungan kepada program tersebut.


SCORE membolehkan SME Corp. Malaysia menilai PMKS secara kuantitatif mengikut kriteria khusus bagi memastikan bantuan diberikan dengan lebih bersasar dan menyeluruh.


Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 73,576 PMKS telah dinilai melalui SCORE.


Ketika berucap pada majlis itu, Ewon berkta, daripada 48 PMKS terlibat, 21 PMKS telah mula merancang untuk penyenaraian di Bursa Malaysia, dengan 10 PMKS akan melaksanakannya dalam masa terdekat.


“Baki 11 PMKS lagi dijangka akan berbuat demikian dalam jangkamasa lima sehingga 10 tahun akan datang.


“Sebanyak 12 PMKS juga akan meluaskan pasaran baharu di luar negara melalui perkhidmatan Trade Linker yang disediakan di bawah program ini,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan berhasrat melihat lebih banyak PMKS membuat lonjakan serta mengorak langkah dan seterusnya beralih menjadi syarikat besar iaitu melepasi definisi PMKS, seterusnya menjadi penyumbang kepada pencapaian sasaran penanda aras di bawah kerangka Ekonomi MADANI iaitu kedudukan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.


Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy berkata, Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang yang dilaksanakan pada 5 hingga 6 September lalu adalah antara usaha SME Corp memperkukuh PMKS supaya lebih berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global.


“Di bawah inisiatif ini, PMKS didedahkan dengan strategi penyenaraian, usaha wajar penyenaraian, pengenalan kepada Tawaran Awam Permulaan serta kisah kejayaan.


“SME Corp. Malaysia komited dalam memastikan keupayaan PMKS dapat dipertingkatkan serta penglibatan berterusan dalam rantaian bekalan global dengan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi,” katanya.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page