top of page

Sokongan Terus Diperkukuh: ADUN Kadamaian Serah Sumbangan Kepada Pasukan Bola Sepak Bawah 20 Tahun Kota Belud

  • nabalunews
  • 23 hours ago
  • 1 min read

29 Mei 2025


KOTA BELUD: Komitmen terhadap pembangunan sukan akar umbi, khususnya dalam kalangan belia, terus ditonjolkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menerusi sumbangan rasmi kepada pasukan bola sepak bawah 20 tahun daerah Kota Belud.


Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil kepada Pengurus Pasukan Bola Sepak Lelaki SAGA Kota Belud, Saipul Azua @ Joe Datuk Golkhan, semalam.


Menurut Saipul, sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi keperluan persiapan pasukan dalam menghadapi Pusingan Kelayakan Berpasukan Sukan SAGA ke-11, yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 4 Jun 2025 bertempat di Padang Dudan, Kampung Piasau, Kota Belud.


"Penyertaan kali ini melibatkan pasukan-pasukan dari Kota Belud, Kota Marudu, Kudat dan Pitas. Bantuan ini amat bermakna dalam memperkukuhkan persiapan kami dari segi logistik dan pengurusan pasukan," jelas beliau.


Tambahnya lagi, inisiatif sedemikian membuktikan bahawa pembangunan sukan di peringkat daerah mendapat perhatian yang sewajarnya daripada kepimpinan tempatan, khususnya dalam menggilap potensi atlet muda.


Bagi pihak Ewon, Clarence turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada pasukan yang akan beraksi, serta menyeru agar semangat kesukanan terus dipelihara dalam setiap pertandingan.


"Sebagai pemimpin masyarakat, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pembangunan belia tidak terabai. Sukan adalah medium penting untuk membentuk disiplin, daya saing dan jati diri dalam kalangan generasi muda," ujar beliau.


Beliau turut menegaskan bahawa sokongan terhadap program pembangunan sukan akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai salah satu pendekatan strategik untuk memperkasakan potensi remaja di kawasan luar bandar.


Sumbangan ini dijangka memberikan impak positif kepada pasukan, seterusnya mengangkat imej Kota Belud sebagai salah satu tapak utama pembangunan sukan belia di Sabah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page