SPRM Labuan Syor Enam Penambahbaikan Tatakelola Pelaksanaan Jurunikah Di Luar Kariah
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

12 Disember 2025
LABUAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan membentangkan sebanyak enam syor penambahbaikan tatakelola membabitkan pelaksanaan jurunikah di luar kariah yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.
Cadangan itu melibatkan pengemaskinian Garis Panduan Pelantikan dan Penamatan Penolong Pendaftaran Perkahwinan, Penceraian dan Ruju' Orang Islam (PPNCR).
Ia turut melibatkan pewujudan tatacara pembayaran upah PPNCR di peringkat JAWI Labuan bagi tujuan memudahkan audit dalaman dan rujukan jabatan secara berkala serta mewujud dan mengeluarkan borang JAWI Labuan yang disediakan bagi Pendaftar untuk membenarkan jurunikah melaksanakan akad nikah di luar kariah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, terdapat juga cdangan lain iaitu mewujud dan mengeluarkan satu borang dikeluarkan oleh JAWI Labuan bagi jurunikah yang ingin melaksanakan akad nikah di luar kariah disebabkan ketiadaan jurunikah di kawasan.
Katanya, begitu juga dengan mengeluarkan penggiliran tugas jurunikah yang tidak dapat melaksanakan akad nikah di kariah asal disusun bagi memastikan kelancaran perkhidmatan perkahwinan.
“Syor akhir ialah semua PPNCR disaran menandatangani Aku Janji setiap tahun dan mengikuti kursus pemantapan etika perkhidmatan serta tatakelola kerja.
“Syor ini timbul disebabkan kelonggaran dan kelemahan pelaksanaan akad nikah di luar kariah yang ditetapkan JAWI Labuan berdasarkan fail Kertas Penyiasatan Awal (KPA) yang dibuka pada 2024.
“Penyiasatan tatakelola adalah langkah mencegah penyelewengan salahlaku bagi memastikan sistem pengurusan perkahwinan di bawah JAWI Labuan sentiasa mematuhi peraturan, mengelakkan konflik kepentingan dan menegakkan integriti institusi agama,” katanya.
Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod telah membentangkan syor tersebut yang disambut baik oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan, Mohd Suhaimi Mohd Yusof yang diadakan di pejabat JAWI Labuan di sini, semalam.
Turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM Labuan dan Pengarah Kanan JAWI Labuan.
Sesi pembentangan turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah SPRM Labuan, Augustine S.Manson, Ketua Cawangan Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Labuan, Nur Aida Mohammad dan pegawai-pegawai Unit Penyiasatan Tatakelola SPRM Labuan.


















Comments