Sultan Ibrahim tegur cara pemakaian beret, lencana kehormat tentera
- nabalunews
- Aug 16, 2025
- 1 min read

16 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegur cara pemakaian beret kehormat dan lencana kehormat pada pakaian seragam tentera.
Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bertitah setiap beret dan lencana yang dipakai melambangkan kemahiran, kelayakan serta identiti sebenar pemakainya, dan bukannya sekadar hiasan.
“Sebagai contoh, saya sendiri telah lulus latihan Special Forces dan payung terjun di Fort Bragg, Amerika Syarikat. Jadi saya layak untuk memakai lencana tersebut pada pakaian seragam saya.
“Tetapi, jika awak hanya penerima lencana kehormat, ia hanya boleh dipakai pada acara tersebut sahaja, bukan untuk melawa setiap hari.
"Oleh itu, kepada yang tidak layak untuk memakainya, awak tahu apa yang patut dibuat. Pagi ini, saya tegur sedikit sahaja, siapa yang makan cili dia yang rasa pedas," titah baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Seri Paduka memberi teguran berkenaan pada Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, Johor hari ini.















Comments