Taman Botani Tun Fuad Stephens Dibuka Semula Esok
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

26 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Sebahagian kawasan di Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah, Bukit Padang, akan dibuka semula kepada orang awam bermula 27 Oktober selepas penilaian menyeluruh terhadap tahap keselamatan dan kerja pembinaan yang sedang dijalankan di kawasan tersebut.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, taman itu akan beroperasi dari 6.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari dengan kemasukan percuma.
“Dengan pembukaan semula ini, orang ramai kini boleh mengunjungi taman untuk melakukan aktiviti riadah seperti berjoging, berjalan dan mendaki.

“Laluan joging utama serta laluan mendaki telah dinilai selamat untuk digunakan, manakala kerja-kerja di kawasan berdekatan kini hanya melibatkan kekemasan dan pelengkap,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, DBKK menjelaskan beberapa kawasan masih ditutup sepenuhnya kepada orang awam atas faktor keselamatan bagi memberi laluan kepada pengemasan pembinaan.
Kawasan yang terlibat ialah Trek Mendaki No. 2; Pusat Botani; Commercial Plaza; Boardwalk dan Lake Walk; Conservatory Park; Bamboo Corner serta Herb Garden.
Justeru, DBKK menasihatkan pengunjung supaya berhati-hati kerana kenderaan berat masih menggunakan laluan joging bagi tujuan penghantaran bahan binaan ke kawasan yang belum siap.
“Dalam masa yang sama, pengunjung diingatkan bahawa aktiviti memancing, barbeku, berkhemah dan berbasikal termasuk basikal bukit adalah tidak dibenarkan sama sekali di kawasan taman ini.
“Aktiviti basikal bukit yang dijalankan sebelum ini juga telah dihentikan sepenuhnya selepas perbincangan bersama Persatuan Berbasikal Sabah, dan pihak persatuan telah bersetuju untuk mencari lokasi baharu bagi latihan dan aktiviti mereka,” tambah kenyataan itu.
DBKK turut mengingatkan pengunjung supaya mematuhi peraturan taman dan arahan keselamatan yang dikeluarkan selain menjaga kebersihan kawasan taman bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan bersama dapat dikekalkan.


















Comments