Tamparuli perlu segera dinaik taraf kepada daerah penuh – Madius
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

21 Disember 2025
KOTA KINABALU: Daerah kecil Tamparuli perlu segera dinaik taraf kepada daerah penuh bagi memastikan tadbir urus pentadbiran, perancangan pembangunan dan kesejahteraan penduduk dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, daerah kecil itu memenuhi kelayakan asas untuk dinaik taraf, antaranya memiliki bangunan urusetia lengkap dengan dewan mini serbaguna serta ditadbir 36 orang kakitangan, termasuk empat dari persekutuan.
Setakat ini, menurut beliau, tiada keperluan untuk penambahan kakitangan kecuali bagi jawatan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) dan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran).
“Dari segi kependudukan, Daerah Kecil Tamparuli mempunyai seramai 43,989 penduduk dengan jumlah pengundi mencecah 26,767 orang.
“Manakala keluasan 499 kilometer persegi melibatkan 71 buah kampung berdaftar dan tiga pekan iaitu Pekan Tamparuli, Pekan Tenghilan dan Pekan Topokoon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, keperluan menaik taraf daerah kecil itu menjadi semakin mendesak berikutan isu pembangunan yang tidak tersusun akibat ketiadaan Pelan Tempatan bagi menentukan zon pembangunan.
Jelasnya, ketika ini terdapat empat ladang khinzir dan 14 ladang ayam yang diberikan lesen perniagaan tanpa merujuk kepada kelulusan Pelan Pembangunan (DP), selain ladang-ladang tersebut juga belum dilesenkan oleh Jabatan Veterinar.
“Penduduk setempat juga terjejas akibat gangguan bekalan air yang kerap susulan penutupan Loji Rawatan Air Telibong Satu yang berlaku hampir setiap dua minggu.
“Oleh kerana kepentingan keterjaminan makanan dan peri pentingnya perniagaan serta peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh perusahaan ladang-ladang tersebut kerajaan perlu pertimbangan kepentingan ekonomi rakyat pada keseluruhannya,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, pada Jumaat bagi membincangkan kajian menaik taraf status daerah tersebut, sekali gus untuk mewujudkan Majlis Daerah Tamparuli.
Ujarnya, penaiktarafan itu bukan sahaja wajar, malah kritikal bagi memastikan perancangan pembangunan yang lebih tersusun, tadbir urus yang cekap serta kesejahteraan penduduk dapat dipertingkat, sejajar dengan pertumbuhan pesat kawasan itu dan keperluan mendesak di peringkat akar umbi.


















Comments