Tamu Telupid berpotensi jadi tarikan pelancong: PH Beluran
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tamu Telupid berpotensi jadi tarikan pelancong: PH Beluran


Felix bersama salah seorang pengunjung Pasar Tamu Minggu Telupid semasa walkabout.

17 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


BELURAN: Calon Pakatan Harapan (PH) Beluran, Felix Joseph Saang, bertekad untuk menjadikan Pasar Tamu Minggu Telupid sebagai sebuah pusat pelancongan.


Felix yang juga Timbalan Ketua Pemuda PH, beranggapan bahawa Pasar Tamu Minggu Telupid mempunyai potensi untuk dijadikan pusat tarikan pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar daerah Telupid.


“PH Beluran ingin menjadikan Pasar Tamu Minggu Telupid sebagai pusat pelancongan yang boleh dilawat oleh bukan sahaja dari kalangan warga Telupid dan Beluran tetapi juga dari pengunjung-pengunjung dari daerah lain,” katanya kepada media selepas acara walkabout di Pasar Tamu Telupid, baru-baru ini.


Beliau berkata, para pengunjung boleh membeli hasil tani dari peniaga kecil dan usahawan tani di daerah ini, secara langsung boleh meningkatkan ekonomi dan menjana pendapatan petani serta peniaga.


Felix berkata, PH Beluran ingin memperbanyakkan bantuan pertanian, kursus dari pakar pertanian, dan pinjaman berasas kepada petani-petani bagi meningkatkan hasil tanaman.


Di samping itu, PH Beluran juga ingin menggalakkan para petani untuk menceburkan diri dalam inovasi pertanian terutamanya industri pemprosesan hasil tani kepada produk sebagai sumber ekonomi baharu.


“Inilah aspirasi saya terhadap warga Telupid dan Beluran khususnya. Beri peluang kepada saya untuk menyalurkan usaha saya dalam memajukan daerah Telupid dan Beluran,” tegas Felix.


Ketua Pemuda UPKO itu juga merancang untuk meletak papan tanda nama Pasar Am dan Jadual Pasar Tamu Minggu yang sesuai di kawasan masuk Pekan Telupid.


Antara manifesto Felix untuk Beluran ialah memacu sosio-ekonomi, industri, pelancongan, dan galakan pertanian di kawasan tersebut.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page