top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tangani isu pengambilan perkhidmatan awam negeri dengan telus - Ewon



15 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mendesak agar isu pengambilan baharu perkhidmatan awam negeri ditangani dengan telus.


Menurut beliau, banyak aduan telah dikemukakan kepada beliau berkenaan pengambilan baharu perkhidmatan awam tidak menggambarkan demografi kaum di Sabah termasuklah yang berlaku di Jabatan Muzium Negeri Sabah.


“Sebagai Presiden parti yang mendukung kepimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selaku ketua kerajaan negeri hari ini, saya berharap sokongan yang diberikan dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan dasar-dasar yang seimbang dan telus termasuk pengambilan penjawat awam negeri.


“Ramai yang mengatakan ramai ADUN di kalangan suku Momogun yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah hari ini tetapi dari segi pengambilan perkhidmatan awam negeri, sokongan ini tidak menyerlahkan pengambilan baharu penjawat awam negeri di kalangan suku masyarakat tersebut.


“Saya percaya aduan ini tercetus berdasarkan kepada pemerhatian di pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan. Ini termasuklah yang berlaku di Jabatan Muzium Negeri. Justeru, saya akan berjumpa dengan Ketua Menteri untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan demikian selepas menghadiri taklimat hasil dapatan Pelan Pembangunan Penampang di Wisma IDS di sini, hari ini.


Beliau diminta mengulas isu pengambilan kakitangan baharu di Jabatan Muzium Sabah yang dikatakan berat sebelah dan disifatkan sebagai “nepotisme”.


“Parti UPKO mahu satu dasar yang lebih baik dibuat oleh Kerajaan Negeri Sabah agar pengisian jawatan kanan, kenaikan pangkat dan pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam dapat menggambarkan demografi kaum di Sabah.


“Sebelum ini ada jaminan dinyatakan di Dewan Undangan Negeri berkaitan dengan perkara ini, bahawa kenaikan pangkat dan pengambilan baharu akan mengambilkira peranan setiap suku masyarakat. Tetapi jika aduan yang berlaku di Jabatan Muzium Sabah itu dijadikan sebagai bukti terdapat ketidakadilan dan ketidaktelusan pengambilan kakitangan baharu, maka sesuatu kesilapan tadbir urus yang sangat besar sedang berlaku dan perlu ditangani oleh Ketua Menteri.


“Sebagai Presiden UPKO, saya juga mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan dengan isu pengisian jawatan kanan, kenaikan pangkat dan pengambilan baharu di agensi dan jabatan lain agar perkara ini dapat dibincang dan ditangani dengan sebaik-baiknya,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Kadamaian juga menyatakan akan menggunakan platform lain yang bersesuaian selain daripada perbincangan dengan Ietua Menteri bagi menangani isu seperti ini.

Comentários


bottom of page