top of page
  • Wartawan Nabalu News

TEKUN Nasional diminta sediakan skim pembiayaan mudah untuk usahawan pasar tamu Borneo

27 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


NABAWAN: Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN Nasional) diminta mempertimbangkan cadangan menyediakan skim pembiayaan mudah khusus untuk usahawan yang berniaga di pasar tamu khususnya di Sabah dan Sarawak.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, skim pembiayaan mudah itu akan membantu usahawan informal dan mikro di Borneo yang berniaga di pasar tamu.


“Skim pembiayaan Tekun Pasar Tamu ini tidak memerlukan modal yang besar, mungkin memadai dengan nilai maksimum pembiayaan sehingga RM5,000.


“Saya berharap dengan adanya skim baru ini nanti dapat membantu usahawan informal dan mikro di Pasar Tamu mendapatkan modal tambahan dengan mudah bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pejabat Tekun cawangan Pensiangan, di Pekan Nabawan, di sini, hari ini.


TEKUN Nasional adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) yang menyediakan pembiayaan kecil-kecilan kepada usahawan informal dan mikro.


Ewon berkata, TEKUN Nasional amat popular di kalangan usahawan kecil yang ingin mendapatkan modal bagi meningkatkan perniagaan mereka.


“Sejak beroperasi pada 1998, TEKUN telah membuktikan peranan dan tanggungjawabnya membangunkan usahawan kecil atau usahawan mikro di seluruh negara.


“TEKUN Nasional kini tidak hanya menyediakan kemudahan modal perniagaan semata-mata sebaliknya turut menyediakan peluang perniagaan, khidmat bimbingan dan sokongan serta jaringan usahawan,” katanya.


Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Dato’ Adam Abd Ghani, Pegawai Daerah Nabawan Neldin Gimbang dan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bobbey Suan.

留言


bottom of page