Tekun Nasional salur RM8.85 bilion pembiayaan sejak 1998
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tekun Nasional salur RM8.85 bilion pembiayaan sejak 1998



2 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sejumlah RM8.85 bilion pembiayaan secara kumulatif TEKUN Nasional sejak 1998 sehingga tahun ini.


Beliau berkata, bagi tahun ini sahaja, sehingga 30 September, sebanyak RM795.9 juta atau 37,963 pembiayaan telah diluluskan berbanding peruntukan yang diterima oleh TEKUN Nasional sebanyak RM430 juta.


“Bagi tahun 2024, peruntukan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 bagi Skim Pembiayaan TEKUN Nasional sebanyak RM330 juta.


“Saya yakin TEKUN Nasional akan memperuntukkan dana dalaman sabagai tambahan kepada peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk dimanfaatkan oleh usahawan mikro di negara ini,” katanya ketika menyampaikan penggulungan perbahasan Bajet 2024 peringkat dasar, bagi kementeriannya, kelmarin.


Mengenai cadangan supaya Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) disalurkan dalam bentuk geran, Ewon menjelaskan bahawa, KUSKOP dan TEKUN Nasional berpandangan penyaluran pembiayaan secara pinjaman wajar dikekalkan selaras dengan skop kelulusan program oleh Kementerian Kewangan.


“Di samping itu, ia membolehkan dana pusingan daripada wang kutipan bayaran balik dapat digunakan untuk membantu lebih ramai usahawan,” katanya.


Katanya lagi, bagi tahun 2024, sebanyak RM30 juta disediakan di bawah Skim SPUMI yang dijangka akan memanfaatkan seramai 1,600 usahawan India.


Ewon berkata, TEKUN Nasional juga telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM51.5 juta kepada 2,531 usahawan bekas tentera.


“Pada tahun ini TEKUN Nasional telah memperuntukkan dana khas berjumlah RM10 juta untuk disalurkan kepada usahawan daripada kalangan bekas tentera melalui Skim Pembiayaan Bekas Penjawat Keselamatan. Sehingga 30 September lalu, sebanyak 89 permohonan diluluskan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM1.69 juta,” katanya.


Mengenai Program TEKUN Mobilepreneur dan Skim Perlindungan Diri kepada peserta program, Ewon berkata, TEKUN Nasional membiayai seramai 7,160 usahawan dengan peruntukan berjumlah RM64 juta sejak 2020 sehingga September 2023.


“Di bawah skim ini, TEKUN Nasional bekerjasama dengan PERKESO bagi menyediakan caruman perlindungan kepada pembiayaan-pembiayaan yang dikeluarkan termasuk pembiayaan TEKUN Mobilepreneur,” katanya.


Bagi menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Marudu mengenai pembiayaan TEKUN di kawasan Parlimen Kota Marudu, Ewon berkata, seramai 3,263 usahawan mendapat manfaat pembiayaan TEKUN bernilai RM72 juta sejak tahun 2000.


“Bagi tahun 2023 pula, seramai 389 usahawan kawasan Parlimen Kota Marudu menerima kemudahan pembiayaan TEKUN berjumlah RM12.9 juta,” katanya.





bottom of page