Tekun Nasional sediakan RM2.5 juta untuk usahawan tamu di Sabah tahun ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tekun Nasional sediakan RM2.5 juta untuk usahawan tamu di Sabah tahun ini

30 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Tekun Nasional Negeri Sabah menyediakan pembiayaan sejumlah RM2.5 juta tahun ini untuk Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT).


Pengurus Tekun Nasional Negeri Sabah Hemin Osumping berkata, setakat Jun tahun ini Tekun telah meluluskan RM668,000 permohonan SPUT kepada 142 usahawan tamu di negeri ini.


Beliau berkata, skim pembiayaan itu yang diperkenalkan awal tahun ini khusus untuk penjaja dan peniaga tamu mendapat sambutan amat menggalakkan.


“Terima kasih kepada Datuk Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) kerana memberikan cadangan mewujudkan satu skim pembiayaan khusus untuk peniaga kecil-kecilan di tamu atau pasar tamu,” katanya ketika ditemui pemberita, di pejabatnya.


Hemin berkata, secara keseluruhannya, sejak Tekun Nasional beroperasi di Sabah pada 1998 sehingga tahun ini, Tekun telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM870,875,984 kepada lebih 60,000 usahawan.


“Tahun ini Tekun mensasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sebanyak RM75 juta dengan sasaran 3,730 usahawan menerima manfaat menerusi pelbagai skim yang disediakan.


“Antaranya Skim Tekun Niaga, SPUMI, Skim Pembiayaan Online Tekun (SPOT), Mobilepreneur, Belia, Bekas Tentera, Teman Tekun dan Kontrak-i,” katanya.


Hemin berkata, dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, Tekun Negeri Sabah berjaya menyalurkan pembiayaan lebih RM38 juta dalam pelbagai jenis skim kepada seramai 1,754 usahawan.

bottom of page