top of page
Wartawan Nabalu News

Tiada lagi sekolah daif di Sabah menjelang 2029


1 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Sabah berkata usaha mensifarkan sekolah daif dalam tempoh lima tahun menjelang 2029 merupakan sebahagian daripada aspirasi jabatan itu dalam membina landskap baharu pendidikan di Sabah.

 

Terdapat sembilan sembilan fokus strategik telah digariskan bagi merealisasikan hasrat itu, termasuklah komitmen mensifarkan sekolah daif.

 

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, langkah ini penting kerana prasarana sekolah yang lengkap dan kondusif memainkan peranan penting dalam memperkasa pendidikan negeri.

 

Komitmen ini juga penting untuk memenuhi kehendak era Pendidikan Abad Ke-21, selain dari usaha jabatan meningkatkan gred purata negeri dalam Sijil Pelajaran Malaysia daripada tahap 5 kepada sekurang-kurangnya 4.99, yang juga menjadi fokus strategik di bawah landskap baharu pendidikan ini.

 

Raisin menegaskan bahawa usaha ini tidak hanya memerlukan integriti dan kualiti guru terbaik, tetapi juga sokongan yang kukuh dari segi prasarana sekolah, katanya kepada Bernama.

 

Jelas beliau, Jabatan Pendidikan Sabah bertekad melengkapkan kemudahan infrastruktur di setiap sekolah di seluruh negeri, termasuk menyediakan ruang dan suasana selesa bagi guru dan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

 

Katanya, penekanan terhadap aspek ini penting kerana prasarana sekolah yang lengkap dan kondusif mampu menyokong peningkatan prestasi akademik dan kokurikulum pelajar.

 

Ini melibatkan penyediaan bilik khas, makmal sains dan reka bentuk teknologi, makmal sukan, serta kemudahan lain mengikut piawaian.

 

Raisin turut menyatakan bahawa dalam konteks pembangunan prasarana sekolah di Sabah, pihaknya berazam menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti yang dapat memenuhi keperluan penduduk setempat, terutama di kawasan padat dengan penduduk atau yang jauh dari bandar.

 

"Bangunan sekolah yang kondusif, lengkap dan selamat digunakan juga akan dapat memberi jaminan keselamatan kepada setiap warganya semasa berada dalam kawasan sekolah terutama ketika melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran atau kokurikulum.”

 

Mengulas lanjut usaha mensifarkan sekolah daif di Sabah, Raisin menyatakan bahawa Jabatan Pendidikan Sabah sedang berusaha memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan di sekolah yang belum masuk dalam kategori skala enam atau tujuh.

 

"Ini bermaksud bangunan sekolah perlu diselenggara bagi memanjangkan hayat bangunan, dan ini akan membantu memastikan sekolah terbabit tidak lagi dianggap sebagai sekolah daif. Usaha ini kita laksanakan secara berterusan mulai tahun ini dengan harapan dalam tempoh lima tahun tiada lagi sekolah daif di Sabah," jelasnya.

 

Pada 18 April lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melaporkan bahawa 218 daripada 338 projek pembinaan semula sekolah daif di Sabah telah diselesaikan sehingga kini. Beliau juga menyatakan bahawa 60 projek sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi, manakala baki 60 projek lagi sedang dalam peringkat prabina.

תגובות


bottom of page