Tiga Ditahan Bersama Syabu Bernilai RM6,463
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

20 Januari 2026
LAHAD DATU: Tiga lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah berjaya ditahan polis dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asistem Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, ketiga-tiga suspek ditahan hasil operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Katanya, pihaknya percaya, hasil penahanan tiga individu menerusi Op Tapis itu, pihaknya berjaya menumpaskan dua kes berkaitan pengedaran dan pemilikan dadah jenis syabu.

“Dalam operasi berasingan tersebut, polis merampas dadah jenis syabu seberat keseluruhan 58.76 gram dengan anggaran nilai pasaran mencecah RM6,463.60.
“Selain itu, polis turut berjaya menyita kenderaan dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti dadah,” katanya.
Sementara itu, Dzulbaharin berkata, dalam kes pertama, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun di kawasan Terminal Bas Wagon, Bandar Lahad Datu.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas dadah jenis syabu seberat 6.19 gram yang disyaki untuk tujuan pengedaran.
“Suspek didapati positif dadah dan kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,”’katanya.
Manakala katanya, dalam kes kedua pula, polis menahan dua orang lelaki warga asing berusia 39 dan 40 tahun hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan di kawasan Jalan Segama, di sini.

“Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 52.57 gram bersama peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.
“Seorang daripada suspek didapati positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sehubungan itu, Dzulbaharin menegaskan operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan beliau bersama seluruh warga IPD Lahad Datu dalam memerangi jenayah dadah di daerah Lahad Datu.


















Comments