Tiga Pemandu Kereta Secara Berbahaya Sudah Dikesan
- nabalunews
- Mar 18
- 1 min read

17 Mac 2025
PENAMPANG: Tiga pemandu yang memotong sebuah lori di garisan berkembar sehingga memaksa kereta dari arah bertentangan mengelak, berjaya dikesan polis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya terkesan rakaman video berdurasi 27 saat yang tular di media sosial.
Katanya, insiden pemanduan berbahaya itu dikesan berlaku pada jam 1.41 petang, Ahad lalu, di Jalan Penampang-Tambunan.

“Hasil siasatan awal, ketiga-tiga kenderaan itu memotong di selekoh garisan berkembar hingga menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa berhenti bagi mengelak berlakunya kemalangan.
"Ketiga-tiga pemandu kenderaan berjaya dikesan dan tampil menyerah diri di IPD Penampang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sammy berkata, kenderaan yang terlibat ketika kejadian juga dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda hingga RM15,000, jika didapati bersalah.
"Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Amrin Mohhamad Arif di talian 017-6638278," katanya.
Sementara itu, Sammy menasihati prngguna jalan supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya serta mematuhi undang-undang lalu lintas.
Katanya, ia bagi mengelak dari berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.
Comments