top of page

Tindakan tangguh semakan 40 peratus hak Sabah hakis keyakinan rakyat – Pemuda PAS

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

7 April 2026


KOTA KINABALU: Sebarang tindakan menangguhkan pelaksanaan semakan kelayakan 40 peratus hasil Sabah tanpa penjelasan tuntas hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menghormati hak negeri.


Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah, keputusan penangguhan itu bukan sahaja mengecewakan, malah menimbulkan persoalan besar terhadap kesungguhan kerajaan dalam menunaikan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Beliau menegaskan isu berkaitan rayuan di mahkamah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaan hak bagi tahun semasa.


“Perkara yang melibatkan tuntutan ‘Tahun-Tahun Hilang’ wajar diuruskan melalui proses perundangan, namun dalam masa sama, hak semasa mesti dilaksanakan tanpa kompromi.


“Kegagalan membezakan kedua-dua perkara ini menunjukkan kelemahan dalam pendekatan penyelesaian isu yang sepatutnya boleh ditangani secara lebih proaktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Hendri berkata Sabah masih berhadapan dengan pelbagai kekangan pembangunan asas termasuk kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik, selain akses pendidikan serta kesihatan yang seimbang.


Penangguhan tersebut, menurut beliau, secara langsung memberi kesan kepada keupayaan kerajaan negeri untuk merancang dan melaksanakan pembangunan secara lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.


“Sehubungan itu, Pemuda PAS Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan agar tampil dengan pendirian yang lebih jelas dan bertanggungjawab.


“Ia termasuk mengumumkan garis masa pelaksanaan yang konkrit serta mekanisme yang telus supaya rakyat Sabah tidak terus dibiarkan dalam ketidakpastian,” ujarnya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan hak Sabah tidak boleh dijadikan bahan rundingan politik atau tertakluk kepada perubahan kepentingan semasa, sebaliknya perlu ditunaikan dengan penuh integriti dan keadilan.


Beliau turut menyeru agar pendekatan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diperkasakan berteraskan semangat federalisme sebenar, bukan semata-mata bergantung kepada proses litigasi yang panjang.


“Kami menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus peka, bersatu dan konsisten dalam memperjuangkan hak negeri ini.


“Perjuangan ini bukan bersifat sementara, tetapi satu tuntutan berterusan demi memastikan masa depan Sabah yang lebih adil, seimbang dan bermaruah dalam kerangka Malaysia,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page