top of page

Tujuh Rumah Musnah Terbakar

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

18 Februari 2026


KINABATANGAN: Tujuh rumah jenis tidak kekal dilaporkan terbakar musnah dalam kejadian di Kampung Pangkalan Bukit Garam, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, seorang anggota bomba turut dilaporkan cedera selepas terpijak paku ketika melakukan operasi memadam kebakaran.


Kebakaran melibatkan deretan rumah dua tingkat dan satu tingkat dengan enam daripadanya terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi musnah kira-kira 20 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.08 malam.


Katanya, seramai 17 anggota dan pegawai bersama tiga jentera segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari BBP Kota Kinabatangan.


“Setibanya di lokasi jam 10.21 malam, kebakaran melibatkan tujuh rumah tidak kekal yang sedang terbakar.

“Sebuah kereta jenis Toyota Hilux yang berada berhampiran turut terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan empat pancutan air daripada jentera, pili bomba dan sumber air sungai.


“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.20 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.40 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain.

“Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan 10 rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya.


Menurutnya, seorang anggota bomba turut mengalami kecederaan di kaki kiri selepas terpijak paku ketika operasi.


“Anggota bomba cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menaiki kenderaan utiliti untuk rawatan lanjut.


“Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.


Operasi turut dibantu 14 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), dua petugas Sabah Electricity (SE) dan empat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page