Tuubagu Dan Sumaki Football Academy Gilap Bakat Akar Umbi
- nabalunews
- Sep 3
- 2 min read

3 September 2025
TENOM: Dua akademi bola sepak akar umbi, Tuubagu Football Academy (TFA) Penampang dan Sumaki Football Academy (SFA) Tenom, terus melakar peranan penting dalam mencungkil bakat bola sepak muda menerusi penganjuran perlawanan persahabatan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Tenom itu melibatkan kategori bawah 10 tahun, bawah 12 tahun dan bawah 15 tahun, dengan penyertaan lebih 100 pelatih daripada kedua-dua akademi.
Pengerusi Tuubagu Football Academy, Gideon Gadit berkata, penganjuran perlawanan itu bukan saja memberi ruang kepada pemain cilik mengasah kemahiran, tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan.

“Ramai anak-anak yang pada awalnya hanya bermain bola secara santai, tetapi bila diberi latihan yang betul, mereka menunjukkan bakat besar.
“Ada yang sudah mewakili daerah, negeri, malah ada yang berjaya menembusi pentas kebangsaan,” katanya.

Gideon turut menzahirkan penghargaan kepada rakan jurulatih Sumaki Football Academy, diketuai Jabdi bersama barisan jurulatih daerah Tenom, atas kerjasama dalam menjayakan perlawanan tersebut.
“Selain pertandingan bola sepak, kunjungan TFA ke Tenom turut dimanfaatkan sebagai aktiviti berkeluarga sempena cuti sekolah, termasuk lawatan ke kilang kopi, pusat kebudayaan dan taman pertanian.

“Kejayaan kedua-dua akademi ini turut terserlah apabila beberapa pemain berjaya diserap ke Akademi JDT, mewakili Sabah dalam kejohanan MSSM kategori bawah 12 dan 18 tahun, serta terpilih ke Sekolah Sukan Negeri di SMK Datuk Peter Mojuntin,”
Katanya.
Gideon berkata, perkembangan itu jelas membuktikan potensi bola sepak di peringkat akar umbi Sabah amat besar, sekali gus mampu melahirkan pemain yang berdaya saing di peringkat nasional.

“Dengan sokongan berterusan daripada komuniti, jurulatih serta pihak berkepentingan, Tuubagu dan Sumaki Football Academy diyakini akan terus menjadi wadah penting dalam melahirkan lebih ramai bintang bola sepak tanah air pada masa hadapan.
“Kedua-dua akademi turut merancang mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan sepanjang cuti sekolah bagi memperkukuh bakat dan jaringan kerjasama,” katanya.


















Comments