TYT Rasmi Penutupan Pesta Kaamatan 2025
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

20 Mei 2025
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dijadualkan akan menyempurnakan majlis penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2025 pada 31 Mei depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan 2025, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, dalam kunjungan hormat kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.
Jeffry yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, kunjungan hormat itu bertujuan memberikan makluman terkini kepada Tun Musa berkenaan persiapan serta pelaksanaan keseluruhan sambutan tersebut.
“Sempena majlis penutupan nanti, Tun Musa dijadualkan melawat rumah-rumah tradisi yang didirikan di perkarangan Pusat Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).
“Lawatan ini bakal memberikan peluang kepada Tun untuk menyaksikan sendiri keunikan seni budaya, tarian, alat muzik dan makanan tradisional pelbagai etnik Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jeffry, tema Pesta Kaamatan tahun ini, "Kaamatan Untuk Semua", dipilih bagi menekankan nilai keterangkuman, selain menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan serta mempromosikan kekayaan budaya pelbagai etnik di Sabah.
Selain itu, katanya, sambutan Kaamatan tahun ini mencatat perkembangan positif apabila turut diraikan di luar Sabah termasuk di Putrajaya, Lembah Klang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan.
“Sambutan meluas ini membuktikan bahawa Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi perayaan penting bagi masyarakat Sabah, tetapi juga telah mendapat pengiktirafan dan sambutan di peringkat nasional,” katanya.
Comments