top of page

UKKM Galakkan Pelajar Sabah Rebut Peluang Biasiswa Bidang Keusahawanan dan Koperasi

nabalunews
Jun 25, 2025
1 min read

25 Jun 2025


KOTA KINABALU: Anak-anak muda khususnya di Sabah digalakkan supaya merebut peluang bagi mendapatkan biasiswa dalam bidang keusahawanan dan koperasi.


Timbalan Pengerusi Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Felix Joseph berkata, para pelajar Sabah perlu mendapatkan maklumat sebaiknya agar tidak terlepas peluang keemasan melanjutkan pengajian menerusi tawaran yang disediakan UKKM.


Katanya, UKKM bukan saja menyediakan platform pendidikan tinggi berteraskan koperasi dan keusahawanan, malah turut bekerjasama rapat dengan agensi pembiayaan seperti Yayasan Bank Rakyat (YBR).


“YBR kini menawarkan biasiswa kepada pelajar berkelayakan, terutamanya dalam bidang yang selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi rakyat.


“Selain itu, pelajar dari Sabah turut digalakkan untuk memohon Tawaran Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang sentiasa membuka ruang kepada anak-anak tempatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Felix berkata, UKKM juga bukan sekadar institusi pengajian tinggi, tetapi merupakan pusat pembangunan modal insan yang membentuk generasi baharu usahawan dan pemimpin koperasi.


“Kita menyediakan program latihan, pensijilan profesional, serta akses kepada jaringan koperasi seluruh negara.


“Ia juga bagi memastikan pelajar bukan saja lulus, tetapi mampu berdikari dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat,” tegasnya.


Menurutnya, anak muda Sabah tidak harus memandang rendah keupayaan sendiri, sebaliknya perlu mengambil langkah proaktif dengan memanfaatkan peluang yang disediakan.


Katanya, lebih-lebih lagi dalam landskap ekonomi baharu yang menekankan penglibatan belia dalam keusahawanan dan inovasi sosial.


“Pelajar dari Sabah, khususnya yang berminat dalam bidang keusahawanan dan koperasi, diseru untuk segera membuat permohonan.


“Ini bukan sahaja peluang untuk melanjutkan pelajaran secara percuma, tetapi juga ruang untuk membina kerjaya dan jaringan dalam ekosistem ekonomi koperasi yang kukuh,” katanya.


Untuk maklumat lanjut mengenai program dan biasiswa yang ditawarkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi UKKM atau menghubungi pihak pentadbiran universiti bagi mendapatkan khidmat nasihat permohonan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page