UMS–Ehime University Perkukuh Kerjasama Kesihatan Global Melalui Penubuhan Pejabat Satelit di Sabah
- nabalunews
- 23 minutes ago
- 2 min read

19 Februari 2026
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas jaringan antarabangsa dalam bidang kesihatan dan penyelidikan apabila merasmikan Ehime University Satellite Office Malaysia yang beroperasi di Borneo Medical and Health Research Centre (BMHRC), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyifatkan penubuhan pejabat satelit tersebut merupakan satu pencapaian strategik yang mencerminkan komitmen jangka panjang antara UMS dan Ehime University dalam memperkukuh kolaborasi akademik, penyelidikan serta inovasi berimpak tinggi.
“Dalam era cabaran global yang semakin kompleks dan saling berkait, universiti perlu melangkaui sempadan negara bagi menjana ilmu yang relevan, inklusif dan transformatif demi kesejahteraan masyarakat.

“Penubuhan pejabat satelit ini melambangkan kepercayaan, saling hormat dan komitmen jangka panjang kedua-dua institusi untuk memperdalamkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran akademik dan inovasi, khususnya dalam bidang berkepentingan serantau,” katanya.
Tambah Kasim, kerjasama antara UMS dan Ehime University telah membuahkan hasil signifikan melalui pelaksanaan projek Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS) berkaitan kawalan mampan malaria zoonotik melalui pendekatan bersepadu yang telah dirasmikan pada November tahun lalu.
“Projek berkenaan menjadi bukti bagaimana kepakaran, sumber dan matlamat bersama dapat digembleng untuk menangani cabaran kesihatan awam, sekali gus menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan mampan di Sabah,” ujarnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Datuk Dr. Mohd Yusof Hj. Ibrahim dalam ucapan aluannya berkata, penubuhan pejabat satelit tersebut bukan sekadar pelancaran ruang fizikal, sebaliknya mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa kerjasama akademik dan penyelidikan, pertukaran budaya serta jaringan global.
Menurut beliau, pejabat satelit itu dibangunkan berasaskan kerjasama penyelidikan sedia ada yang kukuh antara UMS, Ehime University dan Nagasaki University, khususnya menerusi projek SATREPS yang memberi tumpuan kepada kawalan malaria zoonotik secara interdisiplin.
“Dengan penubuhan pejabat ini, kita menjangkakan peluasan kerjasama dalam mempergiat usaha penyelidikan bersama, menggalakkan mobiliti pelajar dan staf serta memperkukuh pertukaran ilmu dan kepakaran antara institusi,” katanya.
Pejabat Satelit Ehime University di UMS dijangka berperanan sebagai hab kolaborasi strategik yang memudah cara penyelarasan inisiatif bersama serta mempertingkat kehadiran akademik Jepun di rantau Borneo.


















Comments