top of page

UMS Lancar SUKRES CAMP 2026, Tonjolkan Kepentingan Kemahiran Survival

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

14 Januari 2026


KOTA BELUD: Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menganjurkan Program SUKRES CAMP 2026 yang berlangsung selama empat hari tiga malam di Eco Camp Bayayat Kadamaian, di sini, baru-baru ini.


Program bermula 8 hingga 11 Januari itu dikendalikan bagi memenuhi keperluan kursus Sukan Rekreasi Luar serta membentuk jati diri dalam kalangan pelajar.


Ketua Program, Dr. Jorrye Jakiwa, yang juga Pensyarah Kanan Program Sains Sukan fakulti berkenaan, berkata seramai 72 pelajar, 10 fasilitator terdiri daripada pelajar senior, seorang pensyarah kursus dan tujuh pelajar mobiliti dari Negara Brunei terlibat dalam kem berkenaan.

Menurutnya, selain memenuhi keperluan kursus, program itu bertujuan meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental.


“Ia juga bertujuan membentuk kerjasama serta semangat berpasukan, selain meningkatkan nilai tanggungjawab dan disiplin diri.


“Ia turut mengaplikasikan pengetahuan tentang sukan rekreasi luar secara langsung semasa melakukan aktiviti,” katanya.

Dr. Jorrye berkata, program berkenaan akan diteruskan setiap tahun dengan pemantapan dari segi pemilihan dan pelaksanaan aktiviti bagi memberi pengalaman lebih bermakna kepada peserta.


“Kemahiran survival juga akan ditekankan dalam kursus ini bagi memberi pengalaman praktikal lebih nyata kepada pelajar, memandangkan generasi sekarang mungkin kurang terdedah kepada kemahiran sedemikian,” jelasnya.


Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah berakit redah jeram atau ‘White Water Rafting’ di Sungai Kadamaian, hiking di sekitar perkampungan, aktiviti burung hantu, iaitu berjalan berpasukan pada waktu malam sambil mata ditutup, memanah dan malam kebudayaan yang melibatkan persembahan drama setiap kumpulan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page