Undian Pelantikan Pengerusi JKKK DUN Kadamaian Bermula 6 Hingga 21 Februari
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

5 Februari 2026
KOTA BELUD: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kawasan Kadamaian akan melaksanakan proses undian bagi pemilihan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Pemilihan yang melibatkan beberapa mukim itu bermula 6 Februari hingga 21 Februari depan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Penyelia Kemajuan Masyarakat UPPM Kadamaian, Joel Ewel Deukin berkata, proses undian itu bertujuan memilih calon yang layak untuk menerajui kepimpinan JKKK di peringkat kampung.
Katanya, ia juga bagi memastikan pengurusan serta pembangunan komuniti setempat terus berjalan secara teratur, telus dan berkesan.
“Antara mukim yang terlibat ialah Mukim Taginambur, Wariu, Kinasaraban, Kadamaian Ulu, Kelawat, Kebayau, Lasau dan Mangkulat, melibatkan puluhan kampung dengan sesi undian dijalankan mengikut tarikh, masa dan lokasi yang telah ditetapkan.
“UPPM juga memaklumkan semua penduduk yang layak mengundi dijemput hadir bagi mengambil bahagian dalam proses undian sebagai tanda sokongan terhadap amalan demokrasi serta pembangunan komuniti setempat,” katanya.
Menurutnya, syarat kelayakan mengundi yang ditetapkan ialah warganegara Malaysia, berusia 18 tahun ke atas, penduduk asal atau telah lama menetap di kampung terlibat.
Katanya, setiap individu layak hanya dibenarkan mengundi sekali serta undian dilaksanakan secara fizikal.
“Bagi kampung yang hanya mempunyai seorang calon, undian tidak akan dijalankan dan calon tersebut dianggap menang tanpa bertanding.
“Kerjasama dan kehadiran penduduk amat dihargai bagi memastikan proses pemilihan dapat berjalan dengan lancar, telus dan adil,”
Katanya,
Menurutnya, sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan N.11 Kadamaian, di Pejabat Urusetia UPPM Kadamaian, Skyblue Piasau Kota Belud.


















Comments