top of page

UPKO akan kemuka cadangan kajian semula persempadanan kepada Ketua Menteri: Ewon

  • nabalunews
  • 16 hours ago
  • 2 min read

6 Julai 2026


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mengemukakan cadangan parti itu berhubung kajian semula persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.


Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata setakat ini parti menerima beberapa cadangan supaya kajian semula persempadanan dilakukan, antaranya membabitkan kawasan Kota Belud, Penampang dan Sepanggar.


“Di Kota Belud, resolusi UPKO adalah meminta supaya kerusi Parlimen Kota Belud dipecahkan kepada dua kerana kita sudah mempunyai empat kerusi DUN di situ.


“Begitu juga di Parlimen Penampang, UPKO mencadangkan supaya kajian semula persempadanan pilihan raya dibuat bagi menambah satu lagi kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.


“Bagi kawasan Parlimen Tuaran, saya berharap UPKO Tuaran dapat mengemukakan cadangan sama ada kawasan itu mahu dikekalkan seperti sekarang atau perlu dikaji semula. Saya serahkan perkara ini kepada UPKO Tuaran,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, di sini, semalam.


Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, Kabinet Negeri Sabah sebelum ini telah membincangkan keperluan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya bagi kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini.


“Semua parti telah diminta mengemukakan cadangan kepada Ketua Menteri. Saya percaya parti-parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga sedang meneliti perkara ini di peringkat parti,” katanya.


Beliau berkata, kajian semula persempadanan itu juga pernah dibincangkan sebelum ini, termasuk dalam Majlis Tindakan Khas Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), apabila Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri membentangkan kertas mengenainya.


Bagi Sabah, kali terakhir bilangan kerusi Parlimen ditambah ialah menerusi kajian semula persempadanan 2002–2003 yang berkuat kuasa untuk PRU 2004.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page