top of page

UPKO Beluran gesa kajian semula persempadanan, sokong tambah 14 Kerusi Parlimen Sabah

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

14 Ogos 2026


KOTA KINABALU: UPKO Bahagian Beluran menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan kajian semula secara menyeluruh persempadanan kawasan pilihan raya di Sabah bagi memastikan representasi rakyat yang lebih adil dan berkesan.


Ketuanya, Felix Joseph Saang, berkata perkara itu antara usul yang dibentangkannya pada Persidangan Perwakilan Tritahunan Ke-17 UPKO di Dewan KDCA, baru-baru ini.


Beliau berkata kajian semula persempadanan perlu mengambil kira pertambahan penduduk dan pengundi, keluasan kawasan, pembangunan luar bandar dan pedalaman, kemudahan pentadbiran serta hubungan komuniti setempat.


“Sabah mempunyai keunikan tersendiri dari segi keluasan wilayah, taburan penduduk yang tidak sekata, kawasan pedalaman yang luas serta cabaran logistik yang berbeza berbanding negeri-negeri lain.


“Justeru, prinsip kesamarataan representasi tidak seharusnya hanya mengambil kira jumlah pengundi, tetapi turut mempertimbangkan faktor keluasan kawasan, kesukaran akses, kos penyampaian perkhidmatan dan keperluan pembangunan masyarakat setempat,” katanya.


Dalam usul berkenaan, Felix turut menyatakan sokongan terhadap cadangan pertambahan 14 kerusi Parlimen bagi Sabah dan 20 kerusi bagi Sarawak bagi memperkukuh representasi kedua-dua wilayah berkenaan dalam Dewan Rakyat.


Katanya, pertambahan kerusi Parlimen bukan semata-mata berkaitan angka, sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia serta memastikan suara rakyat kedua-dua wilayah diberikan ruang yang sewajarnya dalam proses membuat keputusan negara.


Beliau berkata, kajian juga perlu diberikan perhatian terhadap penambahan dan struktur kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selaras dengan perkembangan penduduk, pertumbuhan penempatan baharu dan keperluan pembangunan di setiap daerah.


“UPKO berpandangan bahawa setiap proses persempadanan kawasan pilihan raya Sabah hendaklah mengambil pendekatan Sabah First dengan mengutamakan kepentingan rakyat Sabah, memastikan kawasan pedalaman tidak terpinggir dan memberi ruang representasi yang lebih bermakna kepada masyarakat tempatan,” katanya.


Felix berkata pengukuhan representasi Sabah perlu dilaksanakan berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), mengambil kira kedudukan Sabah sebagai salah satu wilayah pengasas Malaysia.


Menurutnya, persempadanan semula yang adil dan berkesan juga penting bagi membolehkan wakil rakyat memberikan perkhidmatan yang lebih fokus, meningkatkan keberkesanan penyampaian pembangunan serta memperkukuh hubungan antara rakyat dan institusi demokrasi.


“Pengukuhan representasi Sabah bukan semata-mata berkaitan pertambahan angka kerusi, tetapi merupakan usaha memastikan suara rakyat Sabah diberikan kedudukan yang sewajarnya dalam menentukan hala tuju negara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page