UPKO Keningau Mantapkan Perancangan, Sokong Kennedy John Angian di PRN Sabah Ke-17
- nabalunews
- Mar 6
- 1 min read

5 Mac 2025
KENINGAU : Ahli Jawatankuasa (AJK) Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau telah mengadakan mesyuarat pertama tahun ini bagi memperkukuh perancangan dan hala tuju parti di kawasan tersebut.
Ketua Pemuda UPKO Keningau, Jeffsonzo Japrin, menekankan bahawa mesyuarat ini bertujuan memastikan perancangan aktiviti sepanjang tahun berjalan lancar dalam usaha memperkasakan parti di peringkat bahagian.
“Mesyuarat ini bukan sahaja sebagai platform untuk merancang aktiviti tahunan, tetapi juga sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan pengaruh dan kepercayaan masyarakat terhadap UPKO di Keningau,” katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, satu ketetapan sebulat suara telah dibuat untuk menyokong Kennedy John Angian, Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Bingkor, sebagai calon UPKO bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Menurut Jeffsonzo, Kennedy merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat yang telah banyak berkhidmat kepada komuniti, khususnya di DUN Bingkor.
“Beliau adalah pemimpin yang mesra rakyat dan memahami keperluan masyarakat setempat. Dengan pengalaman dan komitmennya, kami yakin beliau adalah calon terbaik untuk mewakili Bingkor,” tambahnya.
Sokongan terhadap Kennedy turut diperkuatkan oleh Ketua Generasi Muda UPKO Keningau, Muhammad Haisam Hamzani, yang menegaskan keperluan pemimpin muda dan berwibawa dalam membawa perubahan kepada kawasan tersebut.
“Kami, generasi muda bersama pemuda belia, mahukan seorang pemimpin yang aktif dan mempunyai wawasan jelas dalam membangunkan masyarakat Bingkor. Sudah tiba masanya kepimpinan segar diberikan peluang,” ujar Haisam.
Keputusan ini mencerminkan kesepakatan dalam kalangan pemimpin muda UPKO Keningau dalam memastikan DUN Bingkor mendapat kepimpinan terbaik menjelang PRN Sabah Ke-17. Dengan perancangan yang kukuh dan calon yang dipercayai, UPKO Keningau berazam untuk memperkukuh kedudukan mereka di kawasan ini.
Comentários