UPKO Keningau Sumbang RM100,000 Untuk Pembangunan Gereja St. Francis Xavier
- nabalunews
- Oct 23, 2025
- 2 min read

23 Oktober 2025
KENINGAU: Kepimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau yang diketuai oleh Ketua Bahagiannya, Datuk Dr. Laurentius N. Ambu, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong di Pusat Ziarah Nulu Sosopon pada 22 Oktober lalu. Lawatan itu merupakan susulan kepada kunjungan kasih Presiden UPKO Malaysia, Datuk Ewon Benedick, minggu lalu.
Dalam kunjungan tersebut, pihak UPKO menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Presiden UPKO kepada Bapa Uskup Datuk Cornelius. Sumbangan berkenaan bertujuan menyokong usaha pembangunan Paroki St. Francis Xavier, Keningau, khususnya dalam meningkatkan kemudahan dan infrastruktur gereja di Keuskupan Keningau.
Bapa Uskup Datuk Cornelius menyatakan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan pihak UPKO terhadap keperluan komuniti gereja tempatan. Menurut beliau, bantuan kewangan ini bukan sahaja meringankan beban pembangunan, tetapi juga menjadi tanda solidariti dan sokongan antara pemimpin politik serta masyarakat berbilang agama di daerah Keningau.
“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Ewon dan seluruh pimpinan UPKO atas keprihatinan mereka. Sumbangan ini akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan dan kemudahan Paroki St. Francis Xavier,” ujarnya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Bahagian UPKO Tenom, Junik Bajit, serta Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bingkor, Kennedy John. Kehadiran mereka menggambarkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam menyokong pembangunan komuniti tempatan tanpa mengira latar belakang.
Datuk Dr. Laurentius pula menegaskan bahawa UPKO akan terus komited dalam membantu masyarakat, sama ada dari aspek pembangunan rohani mahupun fizikal. Katanya, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan parti untuk memperkukuh hubungan baik dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah.
“Kami berharap sumbangan ini bukan sahaja membantu melancarkan kerja-kerja pembangunan, tetapi juga membawa berkat kepada seluruh umat Paroki St. Francis Xavier,” jelas beliau.
Dengan penyerahan sumbangan ini, UPKO sekali lagi memperlihatkan keprihatinan terhadap pembangunan komuniti serta menzahirkan semangat kebersamaan dalam membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat di Keningau.


















Comments