UPKO Kimanis salurkan bantuan air mineral ke kampung-kampung terjejas musim kemarau
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO Kimanis salurkan bantuan air mineral ke kampung-kampung terjejas musim kemarau


27 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KIMANIS: UPKO Kimanis telah menghulurkan bantuan air bersih berupa 300 karton air mineral kepada 50 buah keluarga yang terjejas akibat kemarau di Kimanis dan Membakut.


Misi bantuan tersebut diketuai oleh Timbalan Setiausaha Penganjur UPKO yang juga Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Rowindy Lawrance Odong


Rowindy menjelaskan bahawa misi ini bermula selepas menerima maklumat daripada Ketua Pemuda UPKO Kimanis, Royston, mengenai kekurangan bekalan air bersih di kawasan Kampung Bambangan Kimanis.


Hal ini bertambah buruk dengan musim kemarau yang melanda, menyebabkan banyak keluarga di kawasan tersebut kesulitan mendapatkan air bersih untuk kegunaan harian.


"Saya amat bersimpati dengan keadaan mereka apatah lagi keluarga yang mempunyai anak-anak kecil, justeru saya bersetuju dan berikhtiar berusaha memberi bantuan tersebut," kata Rowindy ketika dihubungi.


Menurutnya, misi ini bukan sahaja melibatkan pengagihan air bersih ke Kimanis, tetapi juga ke kawasan Membakut yang turut menghadapi masalah serupa.


Dalam pada itu, beliau turut meminta Ketua Generasi Muda UPKO Kimanis, Russell Flavian, untuk mengenal pasti keluarga-keluarga yang terjejas di kawasan Membakut seperti Kampung Sinoko, Kg Ulu Poring, Kampung Lumat, dan beberapa buah kampung lain.


"Saya turut berterima kasih kepada Ketua Bahagian UPKO Kimanis, Joesey Limy, dan Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu, Dennison R Indang, yang sudi menggunakan lori beliau untuk membawa bantuan air mineral kepada mereka yang memerlukan," tambah Rowindy.


Jelas beliau, misi ini akan diteruskan oleh Royston Adven dan pasukan Pemuda Kimanis, Russell Flavian dan pasukan Generasi Muda UPKO Kimanis serta AJK Bahagian Kimanis Justin Unah, Petrus Kaling dan Irod Laurence akan bertanggungjawab untuk mengagihkan air mineral mengikut senarai yang telah disediakan.


"Walaupun bukan semua keluarga yang terjejas dapat dibantu pada kali ini namun semoga atas usaha ini dapatlah meringankan bebanan mereka seketika,” katanya.

bottom of page