top of page

UPKO Penampang lulus usul tambah satu kerusi Parlimen, dua DUN

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read
Billy Joe (tiga dari kanan) dan Ketua Bahagian UPKO Penampang Datuk Donald Peter Mojuntin (tengah) bergambar bersama Biro Urban UPKO.
Billy Joe (tiga dari kanan) dan Ketua Bahagian UPKO Penampang Datuk Donald Peter Mojuntin (tengah) bergambar bersama Biro Urban UPKO.

5 Julai 2026


PENAMPANG: Mesyuarat Agung Perwakilan Tritahunan UPKO Bahagian Penampang meluluskan usul menggesa penambahan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Daerah Penampang menerusi proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada masa akan datang.


Ketua Pemuda UPKO Bahagian Penampang, Billy Joe Dominic, berkata usul itu dibuat berdasarkan pertumbuhan pesat penduduk serta peningkatan jumlah pengundi di daerah ini yang memerlukan representasi wakil rakyat yang lebih seimbang.


Beliau berkata, usul itu disokong oleh Ahli Jawatankuasa Generasi Muda (GenM) UPKO Bahagian Penampang, Alison Chan dan mendapat sokongan sebulat suara daripada para perwakilan.


“Cadangan ini bukan berasaskan kepentingan politik semata-mata, sebaliknya berpandukan data, keadilan representasi dan keperluan pembangunan semasa di Penampang.


“Pertumbuhan penduduk dan peningkatan jumlah pengundi menunjukkan sudah tiba masanya Penampang diberikan pertimbangan sewajarnya dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya,” katanya selepas mesyuarat itu, di sini, kelmarin.


Billy Joe berkata, melalui cadangan itu, Penampang akan mempunyai dua kerusi Parlimen iaitu Parlimen Penampang yang merangkumi DUN Moyog dan DUN Limbanak, serta Parlimen Kapayan yang dicadangkan sebagai kerusi baharu merangkumi DUN Bahang dan DUN Ganang.


Katanya, ketika ini jumlah penduduk Penampang dianggarkan mencecah 169,892 orang, manakala jumlah pengundi berdaftar bagi DUN Moyog dan DUN Kepayan telah mencapai 80,631 orang pada tahun 2025.


Menurut beliau, angka itu dijangka terus meningkat susulan pertambahan penduduk, pembangunan kawasan perumahan baharu serta pertambahan rakyat yang layak mengundi apabila mencapai usia 18 tahun.


Billy Joe berkata, pertambahan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN akan membolehkan wakil rakyat memberi tumpuan yang lebih menyeluruh kepada kawasan masing-masing, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.


Beliau berkata, usul ini juga selaras dengan aspirasi Sabah dan Sarawak untuk memperkukuhkan representasi kedua-dua wilayah di Parlimen Persekutuan kepada sekurang-kurangnya 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.


“Ini penting bagi memastikan tiada mana-mana entiti yang bersama-sama membentuk Malaysia mempunyai majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan atau meluluskan undang-undang penting tanpa mengambil kira pandangan serta persetujuan Sabah dan Sarawak,” katanya.


Selain itu, katanya, pertambahan wakil rakyat akan memperkukuhkan suara Daerah Penampang di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri Sabah, di samping meningkatkan peluang memperoleh lebih banyak peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.


“Ia sekali gus membolehkan lebih banyak projek pembangunan seperti jalan raya, bekalan air, sekolah, klinik, kemudahan awam, pelancongan, pertanian dan ekonomi rakyat dilaksanakan secara lebih berkesan,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berharap kepimpinan parti dapat membawa usul itu kepada kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan serta pihak bertanggungjawab terhadap persempadanan kawasan pilihan raya supaya diberi pertimbangan.


Beliau menegaskan UPKO Bahagian Penampang akan terus komited memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat agar daerah itu menikmati representasi politik yang lebih adil serta pembangunan yang mampan pada masa hadapan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page