top of page

UPKO Sambut Baik Keputusan Kerajaan Negeri Batalkan Sambutan Hari Malaysia

  • nabalunews
  • Sep 16
  • 1 min read

ree

15 September 2025


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri membatalkan sambutan Hari Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka esok berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.


Ahli Majlis Tertinggi Eksekutif UPKO, Rowindy Lawrence, berkata langkah itu wajar bagi memastikan keselamatan orang ramai dan mengelakkan sebarang risiko berikutan hujan berterusan serta kejadian banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan.


“UPKO menghormati keputusan ini kerana aspek keselamatan rakyat perlu diutamakan.


“Walaupun sambutan secara besar-besaran dibatalkan, semangat dan makna Hari Malaysia tetap terpahat dalam jiwa kita semua,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvensyen Kadamaian, di sini, hari ini.


Rowindy yang juga Timbalan Setiausaha Penganjur UPKO Malaysia turut menyeru rakyat agar terus memperkukuh perpaduan serta menghargai perjuangan pemimpin terdahulu yang membawa kepada penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.


“Semangat Hari Malaysia boleh diraikan dalam pelbagai bentuk, termasuk bersama keluarga, komuniti setempat dan melalui program yang lebih sederhana tetapi penuh makna,” katanya.


Sementara itu, Rowindy turut memuji keprihatinan Presiden UPKO, YB Datuk Ewon Benedick, yang pada hari ini mengambil keputusan menangguhkan pelancaran Jentera Pilihan Raya Kadamaian dan sebaliknya melancarkan Tabung Bencana UPKO.


“Keputusan tersebut mencerminkan keutamaan parti dalam mendahulukan kebajikan rakyat yang terjejas berbanding agenda politik.


“Ia adalah langkah yang sangat tepat dan penuh makna,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page