top of page
  • Wartawan Nabalu News

USHWANE sokong inisiatif kitar semula dan upcycling untuk produk usahawan


Peserta daripada USHWANE yang menyertai bengkel tersebut.

25 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Sebuah bengkel kitar semula dan upcycling yang dianjurkan bersama oleh Ripple - Sabah Recycling Association dan Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) telah dianjurkan di dewan Kampung Madsiang, di sini pada Ahad.


Seramai 37 orang peserta dari USHWANE yang terdiri daripada cawangan Membakut, Kota Belud, Tamparuli, Tambunan dan Kota Kinabalu telah menyertai bengkel tersebut menerusi lawatan sambil belajar.


Dalam bengkel tersebut, para peserta berpeluang untuk mempelajari cara-cara menghasilkan produk kreatif dan inovatif daripada bahan-bahan kitar semula seperti plastik dan kaca.


Bengkel ini dimulakan dengan pengenalan mengenai Happy Plastic Borneo oleh pengurus projek, Rachel Tang. Peserta-peserta kemudian mempelajari cara-cara membuat pas dan slab menggunakan pasir kaca yang dikendalikan oleh Junik dan Merlyn.


Seterusnya mereka juga berpeluang mempelajari 'basic decoupage' yang dikendalikan Juddy Lasius, iaitu teknik kraf yang melibatkan pemotongan reka bentuk kertas atau kain dan melekatkannya pada permukaan dengan gam atau varnis.

Pengerusi USHWANE, Rowindy.

Pengerusi USHWANE, Rowindy Lawrence Odong, menzahirkan penghargaan kepada Ripple kerana telah mengendalikan bengkel tersebut dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.


"Saya berharap kita akan terus berkolaborasi untuk mengadakan bengkel-bengkel yang seumpama ini pada masa-masa akan datang.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa bengkel tersebut.

“Ini sedikit sebanyak membantu semua peserta untuk lebih memahami tanggungjawab dan mencintai alam sekitar dan tahu bahawa 'trash' itu boleh dijadikan pendapatan sampingan usahawan," katanya semasa majlis perasmian bengkel tersebut.


Bengkel ini adalah sebahagian daripada program pembangunan kapasiti yang dijalankan oleh Ripple untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam kitar semula dan upcycling di Sabah. Bengkel tersebut ditaja bersama Carlsberg Malaysia.






댓글


bottom of page