WANITA KERUGIAN LEBIH RM141,000 DITIPU 'LOVE SCAM'
- Wartawan Nabalu News
- Nov 12, 2020
- 1 min read

12 Nov 2020
PENAMPANG: Perkenalan yang bermula menerusi laman ‘Facebook’ akhirnya membawa peristiwa malang kepada seorang wanita yang mengalami kerugian sebanyak RM143,200 apabila menjadi mangsa 'Love Scam'.
Mangsa berumur lingkungan 50 tahun berkenaan mengaku berkenalan dengan seorang pemilik akaun ‘Facebook’ bernama 'Eric Chan' sejak beberapa bulan dan telah membuat sebanyak lima transaksi kewangan kepada akaun berbeza sebelum menyedari dirinya telah ditipu.
Mangsa telah diperdaya dengan tipu helah suspek dengan menyatakan duit simpanan berjumlah RM16.6 juta miliknya telah dibekukan dan meminta pertolongan mangsa supaya melakukan transaksi kewangan seterusnya berjanji akan memberikan 'habuan' kepada si mangsa.
Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim mengesahkan, pihak polis menerima laporan daripada mangsa awal pagi, hari ini, dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Tambah beliau lagi, statistik kes penipuan melibakan 'Love Scam' semakin meningkat di Daerah Penampang sejak kebelakangan ini.
“Oleh itu saya ingin menasihatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dengan individu yang tidak dikenali,” katanya.
Berdasarkan trend jenayah 'Love Scam' ini, modus operandi mereka menerusi perkenalan di alam maya (media sosial) dengan memberikan kata-kata manis untuk memperoleh kepercayaan si mangsa seterusnya meminta sejumlah wang untuk pelbagai tujuan.
Sumber: Facebook Polis Daerah Penampang
Comments