top of page

WARGA ASING DITAHAN LAKUKAN AKTIVITI PERIKANAN TANPA DOKUMEN SAH

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read


8 Mei 2025


LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot nelayan selepas dikesan melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan Felda Sahabat, Tungku, semalam.


Dalam kejadian 10.30 pagi itu, bot nelayan berkenaan ditahan pasukan bot ronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin di bawah Ops Pluto Timur 2/2013 dan Ops Tiris 3.0.


Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, tangkapan melibatkan sebuah bot berwarna putih biru tanpa nombor pendaftaran sah.



Katanya, bot berkenaan dikesan berada di posisi 4.1 batu nautika selatan Tanjung Tungku.


“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun berada di atas bot berkenaan.


“Suspek terus ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau permit sah untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.



Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.


Katanya, nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM300,000 dan akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.


Sehubungan itu, Dzulfikhar berkata, pihak Maritim Malaysia akan meneruskan komitmennya membanteras pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing serta aktiviti perikanan haram yang menjejaskan sumber hasil laut tempatan.


“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page