Warga asing mengamuk ugut bunuh ibu mentua di Kg Haji Matahir
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

11 Januari 2026
TAWAU: Tindakan agresif seorang lelaki warga asing yang mengamuk, malah mengugut hendak membunuh ibu mentuanya membawa padah apabila suspek ditahan polis hanya beberapa jam selepas kejadian di Kampung Haji Matahir, Jalan Merotai, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian sekitat jam 12 tengah hari itu, mangsa seorang wanita tempatan, 61, dikatakan sedang makan di rumahnya apabila suspek mengamuk di dalam bilik dan mengeluarkan ugutan bunuh serta meracun mangsa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ugutan berkenaan menyebabkan mangsa ketakutan dan bimbang akan keselamatan diri serta ahli keluarganya.
“Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bombalai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, bertindak pantas selepas laporan diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai melancarkan operasi dan berjaya menahan suspek pada jam 5.22 petang, hari yang sama, di hadapan rumah tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan 30-an itu turut mempunyai masalah dokumentasi apabila pas lawatannya sudah tamat tempoh.
Jasmin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan jenayah.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran keras bahawa polis tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap pesalah bagi sebarang bentuk ugutan atau keganasan, khususnya melibatkan ahli keluarga.
Beliau juga menasihatkan orang rama supaya segera melaporkan sebarang kejadian ugutan atau keganasan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan tragedi lebih buruk berlaku.


















Comments