top of page

Warga emas diselamatkan Ketua Polis Daerah Penampang, terharu, ucap terima kasih

nabalunews

24 Julai 2024


PENAMPANG: Seorang wanita warga emas yang terperangkap dalam sebuah kenderaan akibat banjir besar di sini pada 1 Julai lalu, langsung tidak menyangka individu yang datang menyelamatkannya ketika itu ialah seorang ketua polis daerah.


Katherine Tsen Kin Lin, 68, amat terharu apabila akhirnya mendapat tahu bahawa individu yang meredah air banjir dan membawanya ke tempat selamat itu ialah Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton.


Untuk mengenang jasa Ketua Polis Daerah Penampang itu, Katherine hari ini datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk bertemu Sammy bagi merakamkan ucapan terima kasih dan menyatakan penghargaan di atas kepayahan dan pengorbanan pegawai kanan polis itu yang menyelamatkannya ketika banjir.


Mengimbau situasi ketika itu, Katherine berkata beliau bersama ahli keluarga baru balik dari Keningau sebelum terperangkap akibat banjir di Bulatan Kasigui, dekat sini.

“Kami bertolak pulang ke Likas selepas berurusan di Keningau pada 2.30 petang dan tidak tahu Penampang dilanda banjir ketika itu.


“Sepanjang perjalanan pulang, cuaca sangat teruk dan banyak tanah runtuh di sepanjang Jalan Penampang ke Keningau sehingga melambatkan pergerakan kami untuk pulang,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.


Menurut Katherine, mereka tiba di Penampang pada awal pagi dan keadaan jalan pada ketika itu digenangi air.


“Sebaik tiba di Jalan Kasigui, kami melihat ada sebuah kenderaan tersadai di tepi jalan, tetapi kami mengambil keputusan untuk meredah jalan supaya dapat pulang segera ke rumah, tambahan pula kami menaiki kenderaan pacuan empat roda.


“Malangnya, apabila melalui bulatan di Jalan Kasigui, kenderaan kami tersasar akibat arus banjir yang kuat dan kami tidak dapat beredar dari kawasan itu atau meneruskan perjalanan.


“Ketika itu, saya sangat takut kerana kurang arif berkenaan banjir dan tidak pernah berdepan situasi banjir sebelum ini,” katanya.


Menurut Katherine lagi, tidak lama selepas itu, mereka dibantu oleh dua penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu dan menolong mereka keluar dan naik di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan.


“Mereka menyarankan supaya kami berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan tetapi malangnya kaki saya sakit dan tidak boleh berjalan dalam banjir.


“Pasukan kecemasan lain pun tidak dapat ke lokasi kami kerana mereka perlu melakukan operasi menyelamat di kawasan lain dahulu sebelum ke lokasi kami berada ketika itu.


“Akibat tidak dapat menunggu lebih lama, saya mengambil keputusan untuk menghubungi Balai Polis Penampang dan syukur mereka datang dengan segera dan memberikan bantuan,” katanya.


“Ketika itu, saya tidak mengetahui pegawai polis yang mengangkat saya adalah Ketua Polis Daerah Penampang sendiri.


“Sebaik mengetahui beliau ialah Ketua Polis Daerah Penampang, saya sangat terkejut dan terharu kerana beliau sangat berdedikasi kepada masyarakat. Beliau melaksanakan tugas bukan hanya untuk menjaga keselamatan orang ramai daripada penjenayah tetapi juga amat prihatin dengan kebajikan orang awam.


“Saya begitu beruntung dan hari ini saya datang mengunjungi IPD Penampang bagi menyampaikan rasa terima kasih dan bersyukur dengan bantuan yang telah mereka berikan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page