YBR raih anugerah ACES 2024
15 November 2024
BANGKOK: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima Anugerah ‘Community Innitiative’ di Majlis Anugerah Asia Corporate Excellence & Sustainability
(ACES) 2024, di Bangkok, Thailand pada Khamis.
Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani menerima Anugerah ACES Award itu yang berlangsung di Hotel Intercontinental, Bangkok dan disempurnakan oleh Rakan Kongsi Pengurusan, Aubrens Sdn. Bhd, Dr. Jayanthi.
Pengiktirafan yang julung kalinya diterima oleh YBR ini adalah di atas inisiatif yang
telah dijalankan dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pendidikan serta program kemasyarakatan yang telah dijalankan sepanjang tahun 2023 bagi
membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Menurut Philip, anugerah ini adalah pencapaian tertinggi YBR
sepanjang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat di sepanjang tahun dalam membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.
“Pengiktirafan ini merupakan bukti kesungguhan YBR serta komitmen dalam
pemerkasaan masyarakat yang signifikan dengan matlamat pembangunan kelestarian di Malaysia”.
“Kami akan sentiasa komited dan menggandakan usaha memajukan kemajuan pendidikan dan kebajikan masyarakat melalui inisiatif yang memberi impak positif bagi memperkayakan kehidupan rakyat Malaysia melalui pendidikan,” katanya
dalam satu kenyataan.
Philip turut menambah, penghormatan yang diberikan ini membuktikan dedikasi YBR dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik serta sebagai penanda aras untuk terus berbakti dan memacu negara ke peringkat lebih tinggi.
"Di kesempatan ini, YBR mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat
secara langsung atau tidak langsung yang telah menjadi sebahagian daripada
kejayaan ini," katanya.
Tambah Philip lagi, sepanjang tahun 2023 YBR telah membelanjakan sebanyak
RM28.35 juta sebagai peruntukan bantuan pendidikan dan pemerkasaan masyarakat.
Comments