1,870 paket minyak masak bersubsidi dirampas
- nabalunews
- Mar 1
- 1 min read

1 Mac 2026
SANDAKAN: Dua bot ditahan selepas dikesan membawa 1,870 paket minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran dalam operasi di perairan Kampung Bokara Lama, di sini, awal pagi semalam.
Kedua-dua bot berkenaan ditahan kira-kira jam 2 pagi selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dan meninggalkan kedua-dua bot tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 1,870 paket minyak masak yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menyeludup barang kawalan tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua bot bersama enjin dan minyak masak yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM50,000.
Katanya, kedua-dua bot berkenaan terus dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia menegaskan rondaan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi membanteras aktiviti penyeludupan.
Selain itu katanya, orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim melalui talian 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di 089-229504.















Comments