CYK ALDC juara Kejohanan Dart Tambatuon

Oleh Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 22 Sept — Pasukan CYK ALDC muncul juara Kejohanan Tambatuon Dart Club Double Dart Challenge selepas mengatasi 43 pasukan lain yang menyertai kejohanan itu.
Kemenangan itu membolehkan CYK ALDC membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.
Pasukan CYKS91 meraih tempat kedua, manakala GSSA Madu-Madu dan TDC Semboy masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Kejohanan anjuran bersama Tambatuon Dart Club (TDC) dan Generasi Muda (GEM) UPKO Kota Belud itu diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Bagi kelompok lima hingga lapan terbaik, pasukan yang berjaya ialah Dimbas Jem, Bambarayon, GSSA Retro dan FR Snow Wolf.
Kelompok sembilan hingga 16 terbaik pula terdiri daripada Double R/R, TDC M/K, DD Ramuk, Badas H/M, Osonsog, GSSA 911, Mantaranau H/R dan TDC J/D.
Pengerusi penganjur merangkap Ketua GEM UPKO Kota Belud, Vod Zanik Sidin, merakamkan penghargaan kepada semua pasukan dan pihak yang menjayakan kejohanan tersebut.
Beliau berkata, penyertaan memberangsangkan dalam kejohanan itu mencerminkan minat masyarakat, khususnya golongan belia, terhadap sukan dart serta semangat kesukanan yang tinggi.
“Saya berharap kejohanan seperti ini dapat diteruskan sebagai platform untuk mengembangkan sukan dart, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan generasi muda dan komuniti setempat,” katanya.















Comments