top of page

Dua Warga Asing Ditahan Kes Cedera, Ugut di Brumas

nabalunews
8 hours ago
1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


13 November 2026


TAWAU - Polis menahan dua lelaki warga asing berusia 17 dan 18 tahun yang disyaki terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 23 tahun di Kampung Brumas, Tawau. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek dipercayai berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Rosdi Mat Jusoh, berkata mangsa membuat laporan selepas mendakwa terdengar sekumpulan lelaki tidak dikenali berbincang mengenai hasrat untuk membakar motosikal miliknya.


Mangsa kemudian menghampiri kumpulan tersebut bagi memaklumkan bahawa motosikal berkenaan adalah miliknya. Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan dua lelaki daripada kumpulan tersebut tidak berpuas hati sebelum mencekik leher dan menumbuk bahagian mulut mangsa menggunakan tangan.


Akibatnya, mangsa mengalami luka di bahagian mulut serta kesakitan pada bahagian pipi. Mangsa turut mendakwa menerima ugutan akan dipukul semula sekiranya terserempak dengan suspek di luar.


Hasil tindakan pantas, kedua-dua suspek ditahan di perkarangan Pondok Polis Brumas oleh anggota Balai Polis Bombalai dengan bantuan dua anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad. Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.


Polis menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berhadapan dengan sebarang ancaman atau kejadian jenayah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page