top of page

KKIP sedia kemudahan parkir treler, SPSB bangunkan 14 ekar kawasan tambahan kontena – Ewon

nabalunews
4 hours ago
3 min read
Ewon dan pegawai agensi penguatkuasa melawat kawasan parkir sementara yang disediakan oleh KKIP bagi menangani isu parkir di bahu jalan Sepanggar.
Ewon dan pegawai agensi penguatkuasa melawat kawasan parkir sementara yang disediakan oleh KKIP bagi menangani isu parkir di bahu jalan Sepanggar.

14 November 2026


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kemudahan parkir sementara lori dan treler kontena serta kawasan penyimpanan kontena tambahan disediakan bagi menangani isu parkir di bahu jalan dan kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP).


Beliau berkata, parkir sementara seluas lebih satu ekar itu disediakan oleh Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), manakala kawasan penyimpanan kontena tambahan seluas 14 ekar akan dibangunkan oleh Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB).


Katanya, kedua-dua kemudahan itu merupakan sebahagian daripada 10 Pelan Tindakan Sementara yang diperakukan Kabinet Kerajaan Sabah.


Ewon bersama Pengarah Urusan SPSB Datuk Ahmad Rizal Dahli meninjau tapak kawasan 14 ekar bersebelahan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) yang akan dibangunkan menjadi kawasan penyimpanan kontena.
Ewon bersama Pengarah Urusan SPSB Datuk Ahmad Rizal Dahli meninjau tapak kawasan 14 ekar bersebelahan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) yang akan dibangunkan menjadi kawasan penyimpanan kontena.

Menurutnya, penyediaan kawasan parkir sementara itu bagi menangani kekurangan tempat meletakkan treler kontena, terutama apabila depo di KKIP penuh atau tidak lagi menerima kontena selepas waktu operasi.


“Isu yang timbul selama ini adalah ketiadaan kawasan letak treler kontena sementara yang lain, terutama selepas depo-depo di KKIP sudah penuh atau tidak lagi menerima kontena-kontena selepas waktu operasi.


“Sebab itu, KKIP telah mengambil langkah proaktif menyediakan kawasan parkir sementara yang kini sudah mulai digunakan oleh syarikat perkhidmatan lori treler sejak bulan lalu,” katanya.


Parkir sementara seluas lebih satu ekar yang disediakan oleh Kota Kinabalu Industrial Park.
Parkir sementara seluas lebih satu ekar yang disediakan oleh Kota Kinabalu Industrial Park.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan penyelarasan penguatkuasaan larangan meletakkan treler kontena di bahu jalan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar, di sini, kelmarin.


Mesyuarat itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), SPSB dan KKIP.


Ewon yang juga Pengerusi KKIP berkata, langkah jangka pendek, sementara dan jangka panjang telah dikenal pasti, dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah menyelaras inisiatif berkaitan.


Ewon mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan penyelarasan penguatkuasaan larangan meletak treller kontena di bahu jalan di sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar yang dihadiri agensi-agensi penguatkuasa termasuk PDRM, JPJ, LPKP, DBKK, SPSB dan KKIP.
Ewon mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan penyelarasan penguatkuasaan larangan meletak treller kontena di bahu jalan di sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar yang dihadiri agensi-agensi penguatkuasa termasuk PDRM, JPJ, LPKP, DBKK, SPSB dan KKIP.

“Saya dimaklumkan LPKP Sabah telah mengambil lebih 3,000 tindakan penguatkuasaan sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, termasuk mengeluarkan 2,085 notis pelanggaran syarat lesen, 846 surat amaran dan 82 surat penggantungan serta membatalkan 16 permit bagi treler yang melanggar peraturan, termasuk meletak di bahu jalan,” katanya.


Beliau turut membangkitkan aspek penguatkuasaan syarat wajib pemilikan depo sendiri bagi setiap syarikat pengangkutan yang memohon atau memperbaharui permit treler masing-masing.


Selepas mesyuarat itu, Ewon melawat kawasan parkir sementara untuk lori dan treler kontena yang boleh memuatkan maksimum 50 treler pada satu-satu masa.


“Kapasiti ini boleh ditambah mengikut keperluan pengguna kerana tanah KKIP adalah tersedia,” katanya.


Katanya lagi, DBKK akan membantu KKIP mewartakan penggunaan sementara kawasan berkenaan sebagai tapak depo atau parkir sementara lori treler, selaras dengan keputusan Kabinet Kerajaan Sabah.


Langkah itu akan membolehkan syarikat perkhidmatan lori treler menggunakan kawasan berkenaan sebagai kawasan depo semasa memperbaharui permit tahunan.


Beliau berkata, beberapa syarikat sudah mula menggunakan kemudahan tersebut dan agensi penguatkuasaan akan membantu memastikan syarikat berkaitan memanfaatkan kawasan parkir itu.


Ewon berkata, pemantauan mingguan oleh agensi pihak berkuasa mendapati jumlah lori treler yang diletakkan di bahu jalan boleh mencecah sehingga 200 buah.


“Satu kompaun yang dikeluarkan oleh agensi penguatkuasaan bagi treler yang diletakkan di bahu jalan adalah sebanyak RM300 dan jumlah ini sebenarnya sudah boleh membiayai kadar sewa di parkir sementara treler ini untuk tempoh hampir sebulan,” katanya.


Beliau berkata, penyediaan kemudahan parkir sementara itu telah dimaklumkan lebih awal kepada persatuan logistik dan pengangkutan yang beroperasi dengan SBCP.


Ewon turut meninjau tapak seluas 14 ekar bersebelahan SBCP yang akan dibangunkan SPSB sebagai kawasan penyimpanan kontena tambahan.


Menurutnya, kemudahan itu akan membantu memenuhi keperluan syarikat kilang besar di KKIP, khususnya yang beroperasi 24 jam dan mempunyai keperluan eksport serta import melalui SBCP sepanjang masa.


Kawasan tersebut juga akan menjadi tempat penyimpanan sementara produk berasaskan kayu oleh Sabah Timber Industries Association (STIA).


“Kesemua 10 Pelan Tindakan yang dilaksanakan akan berkuat kuasa sehingga projek pembesaran SBCP yang sedang berjalan siap sepenuhnya,” katanya.


Bagi jangka panjang, beliau berkata, keseluruhan kawasan pelabuhan di Teluk Sepanggar akan dibangunkan sebagai pelabuhan bersepadu moden, bermula dengan penyiapan projek pembesaran semasa sebelum disusuli pembesaran seterusnya.


“MINDET akan terus memperkasa inisiatif-inisiatif yang bersesuaian supaya aktiviti perindustrian dapat dijalankan tanpa mengabaikan aspek keselamatan. Ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk syarikat-syarikat perkhidmatan lori treler.


“Selagi diberi mandat dan tanggungjawab, saya akan terus berkepimpinan bersama pelbagai pihak dan pemegang taruh bagi memastikan pelabuhan-pelabuhan di Sabah menyumbang dengan lebih baik kepada pembangunan perindustrian dan keusahawanan di Sabah,” katanya.


Beliau turut menyatakan akan membawa beberapa perkara berkaitan ekosistem pelabuhan untuk dibincangkan dengan kementerian berkaitan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page