top of page

105 pelajar cemerlang STPM 2024 Parlimen Sepanggar Diraikan

  • Jul 25, 2025
  • 2 min read

25 Julai 2025


KOTA KINABALU: Seramai 105 pelajar di Parlimen Sepanggar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 menerima sumbangan berupa wang tunai beserta sijil, hari ini.


Pelajar dari tiga sekolah iaitu Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) All Saints dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu itu mencatat keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 hingga 4.00.


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, majlis anugerah Parlimen Sepanggar itu bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anak-anak yang cemerlang dalam pendidikan.

Katanya, ia bukan sekadar mengiktiraf keputusan akademik cemerlang, malah menyanjung nilai kesungguhan, kecekalan dan ketabahan pelajar dalam menghadapi cabaran era Revolusi Industri 4.0.


“Dunia pendidikan hari ini menuntut penyesuaian pantas terhadap teknologi digital dan kecerdasan buatan.


“Namun, pendidikan bukan hanya soal penyampaian ilmu, tetapi juga nilai, etika dan kemanusiaan yang perlu dipelihara agar melahirkan insan seimbang, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.

Menurutnya, STPM kini mendapat pengiktirafan daripada lebih 2,000 universiti antarabangsa, selain setaraf dengan program Cambridge.


Katanya, perkara itu sekali gus membuktikan laluan STPM bukan pilihan kedua, sebaliknya mampu membuka peluang luas di peringkat global.


Sementara itu, Mustapha berkata, walaupun berlaku sedikit penurunan peratusan kelulusan penuh berbanding tahun sebelumnya, pencapaian hampir 98 peratus pelajar yang lulus penuh tetap satu kejayaan membanggakan.


“Ini bukan kelemahan, tetapi ruang untuk penambahbaikan dan pemerkasaan berterusan,” katanya.


Sementara itu, Mustapha berkata, sebagai Ahli Parlimen Sepanggar, beliau memberi jaminan akan terus memberi keutamaan kepada sektor pendidikan dalam agenda pembangunan kawasan ini.


Katanya, ia termasuk kerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu bagi memastikan sekolah di kawasan berkenaan menerima kemudahan dan sokongan sewajarnya.


“Pendidikan berkualiti adalah asas kepada pembangunan insan holistik dan generasi berdaya saing serta mampu memacu kemajuan negara,” katanya.


Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Anjakan Paradigma, Anugerah Citra Kepimpinan serta pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dan guru-guru berprestasi tinggi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page