top of page

MINDET perkenal bantuan kepada usahawan sektor perkhidmatan bermula tahun hadapan - Ewon

nabalunews
5 hours ago
2 min read


22 November 2026


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan memperkenalkan bantuan kepada usahawan sektor perkhidmatan, termasuk pengusaha makanan dan minuman (F&B) mulai 2027.


Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan itu merupakan antara lima inisiatif baharu yang dikemukakan kementeriannya untuk dimasukkan dalam Belanjawan Sabah 2027.


Beliau berkata, bantuan itu akan diperkenalkan buat kali pertama dalam usaha kerajaan memperluas sokongan kepada usahawan sektor perkhidmatan.



“Selama ini, bantuan geran yang disalurkan melalui MINDET atau Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) tertumpu kepada sektor pembuatan dan perkilangan.


“Saya menerima banyak pandangan dan pertanyaan daripada usahawan mengenai bantuan kepada mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Festival Kopi Antarabangsa Sabah (SICF) 2026 edisi kesembilan di City Mall, di sini, hari ini.


Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Menteri Kewangan Sabah Datuk Masidi Manjun atas persetujuan mereka terhadap inisiatif berkenaan.


Beliau berkata, empat lagi inisiatif baharu yang akan diperkenalkan mulai tahun hadapan termasuk bantuan kepada gerakan koperasi serta penjaja dan peniaga kecil.


Katanya, koperasi yang mengusahakan tanaman kopi layak menerima bantuan menerusi inisiatif untuk gerakan koperasi, manakala peniaga kecil yang menjual produk berasaskan kopi di tamu seperti Tamu Minggu, Tamu Lido dan Tamu Donggongon layak menerima geran atau bantuan lain menerusi persatuan penjaja dan peniaga kecil masing-masing.


“Saya berharap inisiatif baharu ini dapat memberikan nilai tambah kepada bantuan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkasakan golongan usahawan,” katanya.


Mengulas mengenai festival itu, Ewon berkata penganjuran berkenaan menghimpunkan kira-kira 100 usahawan dan syarikat yang membuka reruai pameran.


Katanya, MINDET menyokong penganjuran festival itu kerana menyediakan ruang pemasaran, promosi dan padanan perniagaan kepada pelbagai pihak dalam rantaian bekalan industri kopi, termasuk penanam kopi, barista, pemilik kafe dan usahawan yang mahu membawa jenama kopi Sabah ke pasaran luar negeri dan antarabangsa.


Ewon yang turut mengunjungi reruai peserta berharap festival itu dapat diperluas sempena Tahun Melawat Sabah 2027.


“MINDET terus menyokong pembangunan produk kopi tempatan yang mampu bersaing dengan jenama lain di pasaran,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page