top of page

110 KES BAHARU COVID DI SABAH, SATU KEMATIAN

  • Wartawan Nabalu News
  • Feb 22, 2021
  • 2 min read


Perkembangan Covid-19 di Sabah hari ini (22 Feb).

22 Feb 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melaporkan 110 kes positif baharu Covid-19 di Sabah dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif 52,174 kes dan satu kes kematian direkodkan di Kota Kinabalu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan jumlah kes hari ini disumbangkan oleh satu kluster lama iaitu Kluster Ladang Sungai Pin yang masih aktif di Kinabatangan.


"Kinabatangan mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 30 kes, diikuti Kalabakan (14 kes), Kota Kinabalu (sembilan kes), Penampang, Keningau dan Beaufort masing-masing tujuh kes, Tawau, Sandakan dan Tuaran masing-masing enam kes.

"Telupid merekodkan empat kes, Lahad Datu (tiga kes), Nabawan, Putatan dan Beluran masing-masing dua kes, Kota Marudu, Semporna, Tenom, Kudat dan Pitas masing-masing mencatatkan satu kes.


"Daerah yang tidak mencatatkan kes baharu dalam tempoh 24 jam ialah Kota Belud, Papar, Ranau, Tambunan, Sipitang, Kunak, Kuala Penyu dan Tongod," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daripada 110 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 44 kes berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala (enam kes), saringan kluster sedia ada (48 kes), PERKESO (satu kes) dan 11 kes adalah dari lain-lain kategori.


Beliau berkata, hari ini seramai 122 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 50,714 orang.

"Pada hari ini sejumlah 787 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 310 orang di hospital, 474 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tiga orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


"Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 46 orang dan 13 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.


Masidi berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Politeknik Kota Kinabalu yang dibuka pada 09 Oktober tahun lalu, ditutup secara rasmi hari ini untuk persediaan pembukaan kolej.



Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page