• nabalunews

15,130 PKS SABAH YANG TERKESAN COVID-19 TERIMA BANTUAN RM1,000


16 NOV 2020


KOTA KINABALU: Sebanyak 15,130 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah yang terkesan oleh penularan COVID-19 telah menerima bantuan kewangan daripada kerajaan negeri setakat ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan dan Perindustrian Sabah, berkata bantuan sebanyak RM1,000 masing-masing itu yang disalurkan menerusi kementeriannya, diberi kepada usahawan mikro dan kotej berskala kecil dengan jumlah jualan tahunan tidak melebihi RM50,000.

“Kerajaan negeri mengambil perhatian serius dalam usaha memberi bantuan kepada PKS.  Ini disebabkan PKS merupakan sektor yang amat penting dalam ekonomi negeri yang mana PKS menyumbang hampir 98 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Sabah.

“PKS juga merupakan sektor utama menyokong pertumbuhan sektor pembuatan dan penyumbang dalam penyediaan peluang pekerjaan serta melahirkan usahawan-usahawan untuk memacu ekonomi negeri,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Phoong Jin Zhe (PH-Luyang) yang ingin tahu usaha atau inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan negeri bagi memberi bantuan kepada PKS di Sabah.

Joachim berkata  kementeriannya  juga menjalinkan kerjasama dengan persatuan dan badan-badan yang terlibat dalam pembangunan PKS melalui konsep perkongsian bijak yang menghasilkan situasi menang-menang ketika melaksanakan aktiviti untuk meningkatkan keupayaan dan perkembangan PKS di Sabah.

“Antaranya, kementerian telah menandatangani memorandum persefahaman untuk melahirkan 100 usahawan berjaya dengan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) melalui program yang dinamakan Sabah Enterpreneur Creation (SEC).

“Bagi memperluas pemasaran tempatan produk secara domestik,  kementerian saya telah menandatangani memorandum persefahaman dengan pasar raya Bataras.   Setakat ini seramai 98 usahawan telah berjaya memasukkan produk mereka ke pasar raya Bataras secara fastrack,” tambahnya. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com