15 pelatih tajaan YBR tamat Latihan Kerjaya Industri Minyak dan Gas
- Wartawan Nabalu News
- May 19
- 2 min read

19 Mei 2025
TUARAN: Seramai 15 pelatih tajaan Yayasan Bank Rakyat (YBR) berjaya menamatkan Kursus Kemahiran Kerjaya dalam industri Minyak dan Gas, di ESTC Academy, di sini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program latihan itu dilaksanakan secara kerjasama strategik antara YBR, agensi di bawah kementeriannya, ESTC Akademi dan Monfort Youth Training Center (MYTC) Penampang.
Beliau berkata, program seumpama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menerusi kementeriannya meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Sabah dan menyediakan program latihan yang diperlukan oleh industri.
“Ini merupakan inisiatif kita untuk membantu meningkatkan ekonomi masyarakat Sabah melalui pelaksanaan program-program dan bengkel-bengkel kerjaya yang bersesuaian dengan keperluan industri di Sabah
“Dalam majlis ini 13 daripada 15 orang yang bergraduan telah pun menerima tawaran pekerjaan, manakala dua orang lagi sedang dalam proses untuk mendapatkan pekerjaan.

“Ini menunjukkan bahawa pelaburan yang dibuat oleh Yayasan Bank Rakyat untuk menaja sepenuhnya kursus ini adalah berbaloi dan berjaya, kerana anak-anak muda ini kini memiliki kerjaya dan sudah tentu berpeluang menjana pendapatan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Kemahiran Kerjaya Dalam Industri Minyak dan Gas, di Pusat Latihan ESTC Academy, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kejayaan program ini secara tidak langsung akan membantu mengurangkan insiden kemiskinan di negeri ini.
“Seperti yang diamanatkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tahun ini kita harus respon dan tangani insiden kemiskinan di Sabah.
“Sebab itu, menerusi kementerian saya, program seumpama ini adalah satu daripada banyak inisiatif yang kita sedang laksanakan di Sabah,” katanya.
Kursus Latihan Kemahiran Kerjaya Dalam Industri Minyak dan Gas ini adalah usaha sulung di antara Yayasan Bank Rakyat dan Montfort Youth Training Centre.
Jumlah keseluruhan tajaan YBR sebanyak RM310,032.30. Kursus ini bermula pada 3 Mac 2025 sehingga 15 April 2025. Antara topik yang dipelajari oleh para pelatih ialah, latihan Teknikal (kerjaya) & Keselamatan, Blasting and painting, Scaffolding Lvl 1/ Pengendali Perancah Tahap 1 (CIDB) dan Rigging and Slinging (Juruikat) Firewatcher.
Antara tujuan kursus ini ialah menyediakan kursus berasaskan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran (Upskilling / Reskilling) kepada para belia agar mereka lebih berdaya saing.
Comments