top of page
  • Wartawan Nabalu News

21 WARGA ASING DIKEHENDAKI DISYAKI ADA KAITAN JENAYAH RENTAS SEMPADAN




6 JAN 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) mengeluarkan senarai orang dikehendaki yang mempunyai kaitan dalam Jenayah Rentas Sempadan dan Penculikan.


Komander Esscom DCP Ahmad Fuad Othman berkata, senarai orang dikehendaki atau wanted list (WL) terbaru dikeluarkan pada 30 Dis 2020 dan dikemaskini setiap enam bulan.


Beliau berkata, seramai 21 penama dan gambar-gambar mereka disenaraikan sebagai suspek yang mempunyai kaitan atau terlibat dalam Jenayah Rentas Sempadan dan Penculikan.


“Kesemua suspek adalah warganegara asing yang telah disenaraikan sebelum ini termasuk lima penama suspek terbaru turut disenaraikan.


“Dari senarai WL lama, lima orang telah dikeluarkan kerana tiga telah ditembak mati dalam pertempuran dengan Pasukan Keselamatan manakala satu orang telah ditangkap dan satu orang lagi menyerah diri. Manakala seramai 16 orang dari senarai asal masih dikekalkan.


“Penama baru ialah Japs @ Mujafar Sawadjaan, Mujimmar Sawadjaan @ Rasad, Mundi Sawadjaan, Hj.Wahad @ Talib dan Barah Udong @ Elvin,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Sehubungan itu beliau meminta masyarakat supaya terus membantu pihak keselamatan terutamanya Esscom menyalurkan sebarang maklumat ke Pusat Operasi Esscom di talian (089-863181/016 atau di aplikasi whatsapp 013-8803585 / 019-2305909)



bottom of page