18 KIR mangsa kebakaran Kg Gumpa terima bantuan awal RM1,000
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

26 April 2026
KUDAT: Seramai 18 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Gumpa, di sini, menerima bantuan awal berupa wang tunai RM1,000 serta barangan dapur.
Bantuan disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mangsa melibatkan lapan rumah yang musnah dalam kejadian pada 16 April lalu.
Mustapha berkata, Kerajaan MADANI bersama kerajaan negeri komited membantu rakyat yang ditimpa musibah.
“Walaupun Perdana Menteri sebelum ini turun padang ke Kampung Bahagia di Sandakan, arahan turut diberikan supaya bantuan disalurkan kepada mangsa di Kudat sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
“Bantuan yang disalurkan ini merupakan bantuan awal, manakala bantuan susulan akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan semasa, khususnya melibatkan kebajikan anak-anak mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Gumpa, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata pihak sekolah juga diminta memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas untuk terus hadir walaupun tanpa pakaian seragam lengkap, bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada persekolahan selepas kehilangan kelengkapan akibat kebakaran.
Dalam pada itu, Mustapha mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada, terutama ketika musim panas yang dijangka berlarutan hingga Jun, bagi mengelakkan kejadian kebakaran.
“Antara langkah pencegahan termasuk tidak membuang puntung rokok merata-rata serta memastikan penggunaan peralatan elektrik di rumah mematuhi prosedur keselamatan bagi mengelakkan litar pintas,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan prosedur penyaluran bantuan kepada mangsa bencana adalah seragam, termasuk bagi mangsa banjir, iaitu melalui pendaftaran di PPS sebelum bantuan disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Mana-mana mangsa yang berdaftar di PPS akan menerima bantuan yang sama, namun dalam kes tertentu mungkin terdapat bantuan tambahan bergantung kepada keperluan,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk meneliti pewartaan lokasi PPS oleh pejabat daerah bagi memastikan penyaluran bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.















Comments