182 usahawan Sabah terima geran BEEP dan BEEP PLUS bernilai RM18.9 juta
- nabalunews
- Sep 30
- 2 min read

30 Sept 2025
PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya SME Corp Malaysia menyalurkan geran pembiayaan sejumlah RM18.9 juta kepada 182 usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) Sabah di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) 2.0 dan BEEP Plus.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu 44 syarikat menerima geran BEEP 2.0 bernilai RM7.42 juta dan 138 syarikat PMKS menerima geran BEEP Plus berjumlah RM11.48 juta.
Beliau berkata, BEEP Plus adalah inisiatif yang beliau perkenalkan pada tahun 2023 di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara - Perspektif KUSKOP bagi membantu menangani keperluan PMKS di Malaysia Timur yang berhadapan dengan cabaran tersendiri khususnya kos perniagaan yang lebih tinggi.
“BEEP Plus telah diperkenalkan di Sabah dan Sarawak susulan libat urus kita dengan usahawan-usahawan PMKS di Sabah, di mana kita telah memasukkan dua skop tambahan meliputi penyewaan premis perniagaan dan juga perolehan bahan mentah.

“Sejak diperkenalkan, kita telah membantu seramai 197 usahawan di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Hari Terbuka Hab PMKS Sabah dan Sesi Ramah Mesra bersama Penerima BEEP, di Hotel D’Arc, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi, SME Corp. Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Dato’ Nainy, wakil-wakil kementerian dan agensi.
Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan geran BEEP kepada seramai 15 orang usahawan Sabah berjumlah RM2.07 juta.
Ewon berkata pelaksanaan BEEP Plus mendapat sambutan menggalakkan dengan permohonan melebihi dana asal RM5 juta yang diperuntukkan sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, kementerian telah mengemukkakan permohonan peruntukan lebih besar di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi membolehkan lebih ramai usahawan Sabah dan Sarawak menerima manfaat.
Katanya lagi, kementerian memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan usahawan di kedua-dua negeri itu dapat bersaing bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.
“Saya meletakkan harapan yang tinggi dalam RMK-13, program khas untuk Sabah dan Sarawak akan diteruskan termasuklah BEEP Plus dan inisiatif-inisiatif khas seperti Projek Tamu Desa dan beberapa lagi inisiatif lain yang kita telah perkenalkan dalam tempoh dua tahun lebih di Sabah dan Sarawak.
“Walaupun kita memberi tumpuan tambahan kepada Sabah dan Sarawak namun saya dan pimpinan kementerian serta agensI-agensi KUSKOP juga memberi fokus besar kepada keseluruhan usahawan di seluruh negara.

“Ini dapat dibuktikan melalui jumlah pembiayaan yang begitu besar telah kita salurkan kepada usahawan di seluruh negara,” katanya.
Ewon berkata, setakat tahun 2024, KUSKOP telah menyalurkan lebih RM9.5 bilion kepada 333,000 usahawan dan koperasi di seluruh negara, sekaligus menunjukkan komitmen besar kerajaan dalam memperkasa sektor PMKS negara.
Pada majlis itu turut diadakan sesi dialog bersama para penerima geran BEEP dan BEEP Plus yang mengemukkan pelbagai cadangan dan pandangan berkenaan keperluan pembangunan keusahawan di negeri ini.


















Comments