2,000 anak benih pokok bakau ditanam dalam program komuniti pintar pemulihan Bakau Lestari
- nabalunews
- Aug 27, 2024
- 2 min read

27 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Sebanyak 2,000 anak benih pokok bakau Bankita (Rhizophora apiculata) berjaya ditanam dalam Program Komuniti Pintar bertemakan 'Tanam Bakau, Tanam Harapan Demi Masa Depan dan SDG' di Hutan Simpan Sungai Gum Gum dan Sungai Loboh, Sandakan hari ini.
Program pemulihan ekosistem bakau ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Pusat Penyelidikan Perhutanan Sandakan Sabah (FRC) dan International Society Mangrove Ecosystem (ISME).
Program ini dijayakan hasil penyertaan aktif daripada Timbalan Ketua (Pentadbiran & Pembangunan) FRC yang juga ahli ISME. Dr. Joseph Tangah.
Acara ini turut dijayakan 251 peserta termasuk pegawai pengiring dan peserta Festival Agromakanan dan Bioteknologi (FAMB) 2024 daripada Politeknik dan Kolej Komuniti Sandakan.
Penganjur dalam satu kenyataan hari ini menyatakan program ini bertujuan memupuk kesedaran peserta mengenai kepentingan memelihara ekosistem bakau.
Ia juga bagi menjalin hubungan dan kerjasama antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam usaha pemulihan hutan bakau dan mencapai SDGs.
Program ini bukan sahaja memberi fokus kepada pemuliharaan ekosistem bakau, malah turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 14 yang menekankan kepentingan tadbir urus marin dan pantai.
Usaha pemulihan hutan bakau itu juga sejajar dengan SDG lain termasuk membasmi kemiskinan dan kelaparan (SDG 1 dan 2), memastikan pertumbuhan ekonomi dan mata pencarian mampan (SDG 8) serta menghentikan kehilangan biodiversiti bakau.
Program ini juga telah memberi pelbagai impak positif, antaranya melatih dan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan, teknik penanaman dan penjagaan pokok bakau.
Selain dapat memupuk kesedaran tentang pentingnya memelihara ekosistem bakau demi kesejahteraan generasi akan datang.
Program ini juga memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan NGO dalam usaha pemulihan hutan bakau dan mencapai SDG.
Program Komuniti Pintar ini juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pemuliharaan alam sekitar pada masa akan datang.
"Kerjasama erat antara pelbagai pihak adalah kunci kejayaan dalam memastikan kelestarian ekosistem bakau dan mencapai matlamat pembangunan mampan negara," kata kenyataan itu.
Comments