2 cedera lori 10 tan terbabas di Jalan Kalabakan, Maliau Basin

1 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Dua lelaki cedera apabila sebuah lori 10 tan terbabas di bahu Jalan Kalabakan, Maliau Basin dalam kemalangan, awal pagi, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukannya dengan menggunakan peralatan khas.
"Mangsa lelaki yang masing-masing berumur 43 dan 58 tahun itu, kemudiannya dikejarkan ke Hospital Nabawan untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 4.37 pagi menerusi MERS999.
"Sepasukan 8 pegawai dan anggota BBP Tawau dikejarkan ke lokasi pada jarak 195 kilometer (KM), manakala 4 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan tiba di lokasi pada jam 5.37 pagi," katanya.
Jemishin berkata operasi ditamatkan jam 9.53 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi tersebut.
Turut membantu dalam operasi itu, pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Hospital Nabawan.
ความคิดเห็น